Selangorkini
SELANGOR

Umat Islam disaran hayati al-Quran, pelihara akhlak

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 11 MAC : Umat Islam di seluruh negara terutamanya di Selangor disarankan supaya berpegang teguh kepada kitab suci al-Quran bagi menjaga dan memelihara akhlak dengan baik.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata al-Quran dan sunnah adalah senjata paling jitu dan berkesan dalam usaha memandu umat Islam agar selamat di dunia dan di akhirat.

MBKatanya dunia moden yang semakin mengabaikan kepimpinan hidup bertatasusila sekiranya tidak dikawal pasti akan mempengaruhi kehidupan umat Islam.

“Pemodenan yang difokuskan terhadap kuasa barat seperi Eropah dan Amerika Utara dilihat lebih mementingkan aspek komersial.

“Tidak dinafikan penjajahan bentuk baru ini turut mempengaruhi kehidupan umat Islam, justeru kita disarankan supaya kembali untuk memahami, menghayati dan mengamalkan ajaran al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Majlis Menghafaz al-Quran peringkat Kebangsaan ke-35 di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini malam tadi.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohammed Khusrin Munawi; Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa.

Majlis itu bertujuan memartabatkan para huffaz selain menyuburkan kembali penghayatan masyarakat terhadap al-Quran yang merupakan kitab suci umat Islam.

Selangor dipilih sebagai tuan rumah bagi acara berkenaan yang akan berlangsung pada 10 hingga 14 Mac ini dengan penglibatan seramai 74 peserta dari seluruh negeri.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri mula mengorak langkah proaktif dengan menubuhkan dan merancang sembilan buah Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) Menengah sebagai projek perintis bagi penubuhan banyak lagi sekolah terbabit.

Beliau berkata pendidikan di kelas Kafa adalah pendidikan alternatif kepada para pelajar yang tidak berpeluang untuk mengikuti pengajian di sekolah agama menengah negeri dan persekutuan.

“Sekolah menengah kebangsaan ketika ini hanya memperuntukkan pendidikan Islam sekitar dua jam 45 minit bagi tingkatan 4 dan 5 manakala kira-kira empat jam bagi tingkatan 1 hingga 3 dalam seminggu.

“Kerajaan negeri berpendapat jumlah masa itu tidak cukup untuk membina jati diri murid yang berjaya di dunia dan di akhirat.

“Maka kita ambil keputusan untuk membina sekolah Kafa kerana ia mendapat sambutan dan galakan daripada ibu bapa pelajar,” katanya lagi.

EZY


Pengarang :