SELANGOR

Wan Azizah : BN harus sedar ‘isyarat’ pengundi Kajang

Oleh : NAZLI IBRAHIM

KAJANG, 24 MAC: Peningkatan peratusan undi yang diperoleh Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang menunjukkan masyarakat negara ini khususnya pengundi di kawasan berkenaan menolak tindakan kuasa politik memperalatkan institusi kehakiman.

Hal itu dibuktikan apabila peratusan undi yang diperoleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang yang baru, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meningkat daripada 56.8 peratus pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu kepada 59.7 peratus dalam PRK kali ini.

Dr Wan Azizah yang juga isteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berkata, Barisan Nasional harus menyedari isyarat yang diberikan pengundi yang dalam PRK Kajang.

DSC_6870“Pengundi muda terutama Melayu kembali menyokong PR dan sokongan ini memberikan momentum kepada Langkah Kajang ke Putrajaya,” katanya pada sidang media selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan beliau sebagai pemenang PRK itu.

Terdahulu, hanya dua hari sebelum penamaan calon PRK Kajang, Mahkamah Rayuan mensabitkan Anwar bersalah dalam kes membabitkan pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Mahkamah Rayuan yang sepatutnya bersidang pada 6 dan 7 April ini dipercepatkan secara tergesa-gesa pada 6 dan 7 Mac lalu seperti disengajakan bagi menyekat Anwar daripada bertanding dalam PRK Kajang.

Keadaan itu memaksa PKR menamakan Dr Wan Azizah sebagai calon PR bagi menggantikan Anwar yang hilang kelayakan untuk bertanding dalam PRK itu.

-NFN-


Pengarang :