Selangorkini
NASIONAL

Abdul Khalid sambut baik cabaran 6 penjuru bertanding Timbalan Presiden PKR

Oleh: AFEEQA AFEERA dan AFIX REDZUAN

SHAH ALAM 2 APRIL: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyambut baik keputusan mana-mana pihak untuk bertanding bagi merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti itu yang akan berlangsung pada Mei depan.

Beliau berkata PKR yang mengamalkan demokrasi dalam kepimpinannya memberi peluang kepada sesiapa yang berminat untuk memperkenalkan diri mereka melalui pemilihan.

pemilihan-2014“Baguslah kalau nak bertanding kerana itu terpulang kepada setiap individu.

“Itulah keistimewaan demokrasi PKR yang memberi peluang kepada semua yang berminat untuk memperkenalkan diri dengan bertanding dalam pemilihan,” katanya ringkas dalam sidang media di Bangunan SUK, hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menafikan beliau akan menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam Pemilihan PKR 2014.

Dalam kenyataannya menerusi sistem pesanan ringkas (sms) beliau menyangkal dakwaan berkenaan.

“Tak, saya kekal bertanding (Timbalan Presiden),” katanya kepada Selangor Kini.

Sebelum ini terdapat desas desus mengatakan beliau akan menarik diri dan mempertimbangkan tawaran untuk menjadi Setiausaha Agung PKR.

Selepas berakhir proses penamaan calon PKR peringkat pusat Sabtu lalu, jawatan timbalan presiden PKR bakal menyaksikan pertandingan enam penjuru.

Penyandangnya, Mohamed Azmin Ali akan menerima tentangan sengit daripada lima calon lain antaranya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Datuk Saifuddin Nasution, Tian Chua, Datuk K Ramachandran dan Murali Subramaniam.

Pemilihan PKR akan bermula 25 April dan berakhir pada 11 Mei ini.

EZY


Pengarang :