Selangorkini
SELANGOR

KEMASKINI: Adun dan media dihalang lawat Empangan Sungai Selangor

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA KUBU BHARU 23 APRIL : Halangan memasuki Empangan Sungai Selangor dialami rombongan Adun dan media tidak akan berlaku sekiranya Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (Splash) bersedia dengan petugas di pintu masuk empangan berkenaan.

Berikutan itu, Adun Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong berkata, berlaku salah faham antara rombongan Adun dan media dengan pengawal keselamatan bertugas kerana mereka tidak mengenali ahli rombongan terbabit.

empanganBeliau berkata, maklum balas Splash tidak menghalang Adun memasuki kawasan empangan sebaliknya hanya media tidak dibenarkan berbuat demikian.

“Pengawal keselamatan tidak tahu, sepatutnya ada petugas Splash menunggu di pondok pengawal yang mengenali saya sebagai Adun. Ini kerana ramai petugasnya yang kenal saya kerana pernah melawat Loji Rawatan Air (LRA) Rasa dua bulan lalu.

“Yang peliknya pengawal keselamatan kata Adun boleh masuk tetapi dia tidak tahu saya Adun,” katanya kepada Selangor Kini selepas sesi lawatan ke empangan itu.

Lawatan diketuai Kee Hiong itu disertai Adun Bukit Gasing, R Rajiv; Adun Kampung Tunku, Lau Weng San dan Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yee.

Kee Hiong berkata, pihaknya sudah memaklumkan mengenai lawatan itu kepada Splash menerusi panggilan telefon dan disusuli menerusi Whatsapp.

“Ini kawasan yang saya wakili, saya rasa tak perlu (memohon melalui surat) kerana ini waktu kritikal, kalau nak kena tulis surat, kena tunggu lagi,” katanya.

IMG_9487aSebelum itu, rombongan Adun dan media dihalang memasuki kawasan empangan itu apabila tidak dibenarkan pengawal keselamatan di situ.

Dalam lawatan bermula kira-kira jam 11 pagi rombongan Adun Selangor mahu menbuat tinjauan perkembangan di empangan berkenaan.

Berikutan itu berlaku sedikit kekecohan antara kumpulan Adun dan petugas di empangan dikendalikan Splash.

Selepas perbincangan tidak membuahkan hasil, Kee Hiong dan rombongan mengambil keputusan untuk terus memasuki kawasan empangan.

Pihak media diarahkan menunggu di luar sehingga lawatan itu selesai.


Pengarang :