Selangorkini
SELANGOR

ADUN perlu pantau kawasan, elak pembangunan di tempat tidak sepatutnya

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 16 APRIL: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor diingatkan menjaga dan memantau kawasan masing-masing bagi memastikan tidak berlaku sebarang pembangunan (Rancangan Tempatan) kawasan luar bandar di tempat yang tidak sepatutnya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata ia berikutan banyak laporan yang diterima daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sejak kebelakangan ini berhubung masalah ‘salah buat pembangunan’ di kawasan yang tidak dibenarkan.

Katanya, Kerajaan Negeri menetapkan tidak ada sesiapa boleh mengguna atau membenarkan tanah digunakan untuk tujuan pembangunan di luar kawasan ‘zoning’ selaras dengan Seksyen 18 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 atau Akta 172.

sidang dun bersidang 5“Saya mengingatkan ADUN apabila menjaga kawasan perlu juga melihat perancangan bandar (rancangan tempatan) yang terkini untuk mengetahui sama ada kawasan itu mempunyai hak untuk dibangunkan atau tidak kerana ramai orang tidak mengikut peraturan ‘zoning’.

“Rancangan Tempatan ditentukan sama ada kawasan itu adalah kawasan bandar atau luar bandar dan setiap kali perubahan ‘zoning’ berlaku, terdapat pengumuman serta pendengaran awam supaya pemilik tanah dapat memberikan pandangan mereka berkenaan ‘zoning’ yang dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Lai Nyuk Lan (DAP-Sungai Pelek) berhubung ‘zoning’ pembangunan luar bandar pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata, kebiasaannya tanah yang dizonkan di kawasan bandar untuk kegunaan komersial dan perumahan adalah lebih tinggi daripada tanah kawasan pertanian.

“Cukai tahunan juga adalah berbeza untuk setiap tanah yang dizonkan ini,” katanya.

-NFN-


Pengarang :