Selangorkini
NASIONAL

Guan Eng: Contohi Karpal perjuangkan keadilan

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 21 APR : Ketokohan mantan Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam memperjuangkan keadilan dan menegakkan kedaulatan undang-undang demi kemakmuran negara terutamanya di Pulau Pinang seharusnya menjadi contoh dan ikutan buat semua masyarakat.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata kesungguhan Karpal dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang di negeri itu berjaya meraih keyakinan pelabur asing, apabila Pulau Pinang berjaya mencatat pelaburan asing tertinggi di Malaysia dari tahun 2010 hingga Ogos 2013.

“Mari kita tunjukkan keberanian sama seperti Karpal yang bukan sahaja melakukan perkara yang betul tetapi melakukannya dengan betul.

karpal“Sama ada muda atau tua, adalah sebaik-baiknya kita mengingati Karpal dengan bergerak ke hadapan untuk memastikan bahawa tidak ada yang dapat mencuri masa depan anak-anak kita,” katanya yang juga Setiausaha Agung DAP dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Guan Eng turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada 3,000 penunggang motosikal yang datang atas kemahuan sendiri untuk mengiringi jenazah Karpal ke krematorium di Batu Gantong.

Beliau berkata konvoi motosikal yang kebanyakannya terdiri daripada kelas pekerja itu adalah sesuatu yang sangat bermakna buat mendiang Karpal sebagai tanda kasih sayang kepada pemimpin veteran DAP yang juga dikenali sebagai ‘Harimau Jelutong’.

“Pengebumian mendiang oleh kerajaan Pulau Pinang mungkin paling besar dalam sejarah di negeri ini.

“Kami ingin meminta maaf kepada semua yang datang dari jauh dan dekat tetapi tidak mempunyai peluang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Karpal di Dewan Sri Pinang.

“Kami berharap orang ramai boleh memaafkan serta melupakan apa-apa kelemahan dalam pengebumian awam yang dilakukan ini,” katanya lagi.

Karpal, 73, maut dalam satu kemalangan ngeri di kilometer 301.6, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala utara berhampiran Gua Tempurung, Perak pada kira-kira jam 1.30 pagi Khamis.

Turut terkorban dalam kemalangan itu ialah pembantu peribadinya, Michael Cornandez sementara anaknya, Ram Karpal mengalami cedera parah.

Karpal yang dipercayai sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang bagi menghadiri satu kes mahkamah meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Kemalangan dikatakan berlaku apabila kenderaan jenis Toyota Alphard yang dinaikinya melanggar sebuah lori yang cuba menukar laluan tanpa memberi isyarat.

EZY


Pengarang :