Selangorkini
NASIONAL

Hishamuddin sahkan Wan Muhammad Azri adalah Papagomo

SHAH ALAM, 3 APRIL: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dalam jawapan kepada soalan lisan di Dewan Rakyat mengesahkan bahawa Wan Muhammad Azri Wan Deris menaiki kapal selam Scorpene, pada 9 Disember 2011.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, berkata Individu itu bersama wakil media menaiki kapal selam Scorpene bagi tujuan perkongsian maklumat.

“Saya bertanyakan soalan itu untuk mendapatkan pengesahan identiti Papagomo kerana umum mengetahui bahawa dia menaiki Scorpene atas jemputan menteri.

Rafizi1-179x300“Perkara ini disebar luas melalui blog Umno sendiri yang mengesahkan Papagomo berada di dalam Scorpene, bahkan gambar terbabit tersebar luas,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Wan Muhammad Azri Wan Deris sehingga kini menafikan bahawa dia adalah Papagomo.

“Maka jawapan Menteri Pertahanan mengesahkan Wan Muhammad Azri adalah Papagomo kerana umum mengetahui bahawa dia berada di dalam kapal selam Scorpene.

“Pengesahan ini mempunyai beberapa implikasi undang-undang terhadap Wan Muhammad Azri,” katanya.

Rafizi berkata, Wan Muhammad Azri menyatakan bahawa dia tidak pernah berada di dalam kapal selam Scorpene ketika memberi keterangan terhadap kes saman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya.

Jawapan Menteri Pertahanan itu turut mengesahkan bahawa Wan Muhammad Azri berbohong kepada mahkamah dan adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan iaitu memberi keterangan palsu kepada mahkamah.

Kesalahan itu boleh dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan boleh ditahan (arrestable offence).

papagomo-scorpeneRafizi berkata, beliau dan N Surendran akan membuat laporan polis terhadap Wan Muhammad Azri atas kesalahan di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan supaya tindakan segera diambil terhadap Papagomo, pada 8 April ini.

“Saya ingin melihat sama ada pihak polis akan mengambil tindakan menahan Papagomo serta-merta di bawah Seksyen 193 dan mahkamah mengenakan hukuman penjara yang sewajarnya terhadap dia.

“Saya juga akan memfailkan satu saman terhadap Wan Muhammad Azri atas fitnah di blognya yang mendakwa saya dipecat daripada Petronas kerana pecah amanah,” katanya.

-NFN-


Pengarang :