Selangorkini
NASIONAL

JPP siasat dakwaan penipuan Azmin dalam pemilihan cabang Sarawak

Oleh: NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 28 APRIL: Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) akan menyiasat dakwaan yang mengatakan berlaku penipuan ketika proses pemilihan di beberapa cabang di Sarawak yang membabitkan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali.

Pengerusi JPP, Datuk Johari Abdul, berkata siasatan dakwaan itu sedang dijalankan dan hasil siasatan akan diumumkan secepat mungkin.

Katanya, JPP tidak akan bertoleransi dengan pihak yang terbabit jika dakwaan itu benar.

johari abdul parlimen 01“JPP tidak akan bertoleransi pada kes seperti ini. Sebagai parti reformasi tidak boleh lakukan apa yang kita suka. JPP akan mengambil tindakan sewajarnya jika didapati benar,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin mendesak supaya Azmin dibatalkan penyertaannya dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR ekoran dakwaan penipuan itu.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Che Gu Bard berkata, berdasarkan laporan yang dibuat pasukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, JPP perlu bertindak tegas terhadap Azmin.

“Perkara itu pernah berlaku pada pemilihan 2010 dan dilaporkan, namun tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap Azmin.

Chegubard“Kali ini, dengan bukti yang ada membabitkan pemilihan di Cabang Batang Sadong, saya berpandangan Datuk Johari Abdul dan JPP perlu mengambil tindakan tegas dengan membatalkan penyertaan Azmin,” katanya.

Johari menambah, dakwaan itu bukan sahaja dibuat Che Gu Bard tetapi ramai pihak dengan memuat naik gambar kejadian di laman sosial.

“Setakat ini, kita difahamkan kawasan itu tiada tempat yang sesuai untuk adakan pemilihan, jadi ia terpaksa dilakukan di tiga hotel bajet.

azmin“Ketika pengiraan, dua orang calon Majlis Pimpinan Pusat datang waktu proses pengiraan berlaku dan secara kebetulan berlakunya ‘blackout’. Hal itu menyebabkan dua MPP tidak berpuas hati,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak bersabar ketika siasatan dilakukan.

“Saya akan ke Sarawak untuk menyiasat perkara ini dan keputusannya akan dimaklumkan secepat mungkin. Kemungkinan dalam tempoh satu atau dua hari lagi,” katanya.

-NFN-


Pengarang :