Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

Selamat Menyambut Ulangtahun ke-15 PKR

Oleh: NIK NAZMI NIK AHMAD

15 tahun yang lalu pada hari ini, KEADILAN telah ditubuhkan sebagai Parti Keadilan Nasional. 15 tahun yang lepas, rakyat Malaysia jijik dengan pemecatan dan hukuman penjara terhadap Anwar Ibrahim telah menyahut seruan reformasi. 15 tahun yang lepas, rakyat Malaysia menghantar mesej jelas menolak rasuah, penyalahgunaan kuasa dan perkauman yang menghancurkan negara kita.

KEADILAN telah berkembang maju sejak itu dan Malaysia juga sudah berubah. Daripada sebuah parti yang telah diremehkan dengan pelbagai cara sebagai perjuangan untuk seorang individu semata-mata, KEADILAN telah membuktikan bahawa parti ini dapat bertahan. Menerusi penggabungan 2003 dengan Parti Rakyat Malaysia, perjuangan parti menjadi sebahagian daripada sejarah lama gerakan progresif di tanah air kita.

Dengan adanya wakil-wakil rakyat di setiap negeri di Malaysia – KEADILAN telah muncul sebagai gerakan politik nasional yang tulen. Menerusi wakil-wakil rakyat dan reformis yang ramai KEADILAN terus menjadi arus tengah politik Malaysia menerusi usaha kita di Parlimen, Kerajaan-Kerajaan Negeri, Dewan-Dewan Undangan Negeri dan jentera parti.

Kita terus mempertahankan mereka yang ditindas di dalam masyarakat Malaysia. Kita terus berusaha untuk mencapai aspirasi anak muda Malaysia untuk masa depan yang lebih baik bagi seluruh rakyat negara. Kerjasama kita dengan rakan-rakan kongsi di dalam Pakatan Rakyat –DAP dan PAS – terus utuh meskipun berkali-kali diramalkan akan berkecai.

Walau bagaimanapun, masih terdapat banyak cabaran dan kita akan tersilap sekiranya mengandaikan bahawa kita boleh menggoyangkan kaki begitu sahaja.

Sabitan bersalah ke atas Anwar Ibrahim baru-baru ini telah menunjukkan bahawa kerajaan “transformasi” ini masih lagi menyalahgunakan sistem perundangan untuk tujuan politik mereka.

Tambahan pula, penyalahgunaan isu kaum dan agama dalam berhadapan pihak pembangkang negara ini tidak terhenti malah telah bertambah.

KEADILAN telah merevolusikan lanskap politik Malaysia kerana mengadakan pemilihan parti secara langsung. Ini merupakan acara yang meriah dan tahun 2014 tidak akan berbeza.

Saya pasti bahawa setiap calon yang telah mengambil bahagian di dalam pemilihan bulan April ini mencintai negara dan parti.

Saya juga pasti bahawa mereka akan membuat yang terbaik untuk kedua-duanya tidak kira keputusan pemilihan.

Tetapi pengundi Malaysia menghendaki KEADILAN dan parti-parti politik yang lain berada pada tahap yang lebih tinggi. Sama ada kita suka atau tidak, rakyat merupakan tuan dan semua ahli politik perlu menerimanya atau ambil risiko untuk diundi keluar.

Rakyat Malaysia berhak untuk mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada para pemimpinnya.

KEADILAN yang boleh berbangga sebagai suatu gerakan yang besar, di mana di dalamnya semua rakyat yang inginkan perubahan boleh bersatu, perlu mengambil berat tentang perkara ini. Kita mesti meningkatkan usaha kita untuk berkhidmat kepada semua rakyat Malaysia. Ini menjadi lebih penting kerana kegagalan berterusan pentadbiran Najib Razak untuk mengawal kos kehidupan, menghentikan kemerosotan sistem pendidikan dan memerangi jenayah serta rasuah.

Pada masa yang sama, KEADILAN bekerja lebih kuat untuk mengembangkan sokongan Pakatan di kawasan luar bandar – termasuk di Sabah dan Sarawak. Kedua-dua negeri tersebut dipinggirkan tetapi BN terus mendominasinya.

Tambahan lagi, kita perlu menggiatkan usaha untuk membela rakyat yang ditakut-takutkan dan ditekan oleh elemen-elemen konservatif yang berusaha menghancurkan keharmonian negara yang dicapai selama ini.

Namun, perkara yang paling penting ialah KEADILAN mestilah bersatu. Kita mesti kembali bersama.

Perselisihan faham adalah perkara biasa di dalam mana-mana parti atau organisasi.

Pokoknya, kita tidak boleh melupakan sasaran utama kita iaitu untuk menjadikan Malaysia negara yang lebih baik dan menjamin keadilan untuk semua. Anggota parti mestilah membuktikan kepada semua rakyat bahawa kita boleh dipercayai untuk mentadbir dan agenda utama kita adalah mempertahankan kemaslahatan ramai semata-mata.

Pemimpin-pemimpin yang kita pilih menghantar isyarat kepada orang ramai jenis kepimpinan yang kita tawarkan kepada negara secara keseluruhan.

Kita perlukan individu yang boleh bekerja dalam pasukan dan bukannya primadonna. Mereka tidak boleh mendakwa mereka bekerja untuk orang ramai jika tidak boleh bekerjasama dengan parti sendiri.

Pemilihan bulan April ini adalah peluang kita untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kita boleh menjadi satu pasukan yang bersepadu, berdisiplin dan inklusif.

15 tahun pertama sejarah KEADILAN sarat dengan cabaran dan kejayaan.

Tiada alasan untuk mengandaikan bahawa 15 tahun yang akan datang akan berbeza.

Tetapi dengan kebijaksanaan, kesabaran dan keberanian – KEADILAN boleh dan akan mendepani politik negara.

#Nik Nazmi adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia merangkap Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor


Pengarang :