Selangorkini
NASIONAL

Suhaizan: Langkah mayat, SMS fitnah cemar nama baik Pakatan

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 APRIL: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kayat menafikan bahawa beliau menghantar arahan dan menyebarkan mesej untuk satu upacara melangkah mayat mendiang, Karpal Singh.

Katanya, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan sistem pesanan ringkas (SMS) dan Whatsapp kononnya tindakan itu adalah arahan beliau.

“Mesej ini berniat jahat dan cuba mencemar nama baik saya dan Pemuda PAS Malaysia,” katanya melalui laman facebook.

Suhaizan-KaiatMesej yang disebar luas berkenaan menggesa seluruh masyarakat untuk datang ke Hospital Ipoh, pada jam 1 tengah hari bagi melangkah mayat mendiang Ahli Parlimen Bukit Jelutong itu.

Berikut adalah mesej yang disebarkan kepada masyarakat umum dengan menggunakan nama Suhaizan Kayan:

“Satu upacara melangkah mayat Karpal Singh akan diadakan di rumah mayat Hospital Ipoh jam 1 tengah hari ini, upacara akan diketuai oleh saya sendiri, kepada mana-mana Pemuda Pas, dan juga ahli-ahli Pas yang berkelapangan dijemput hadir, Pihak media juga dijemput hadir untuk membuat liputan,”.

Suhaizan berkata, beliau dan beberapa orang rombangannya baru sahaja pulang daripada menunaikan umrah dan kini berada di United Kingdom bagi menghadiri perjumpaan bersama Menteri Hal Ehwal Luar dan Pembangunan Antarabangsa, Humza Yousaf.

“Saya baru balik daripada umrah dan kini di United Kingdom, bagaimana mungkin saya ingin langkah mayatnya,” katanya.

Semalam, Setiausaha Pemuda PAS Malaysia, Nasaie Ismail membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam berhubung SMS jahat yang disebar atas nama Ketua Pemuda PAS Malaysia itu berhubung kematian Karpal.

-NFN-


Pengarang :