Selangorkini
NASIONAL

Warga Internet: Peguam muda perlu belajar etika guaman Karpal

Oleh: NURUL FARINA NAZLAN

SHAH ALAM, 17 APRIL: Laman sosial Facebook dan Twitter dipenuhi dengan ucapan takziah atas kehilangan tokoh politik dan perundangan terkenal negara, Karpal Singh yang maut akibat kemalangan dekat Tapah, kira-kira jam 1 pagi tadi.

Kebanyakan pemilik akaun Facebook dan Twitter terutama peguam menyifatkan mendiang Karpal seorang yang sangat berdedikasi dan merendah diri serta sering membantu peguam muda, selain gaya berhujah tersendiri.

Laman Facebook milik Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Fadhlina Sidek memperlihatkan beliau membesar dengan kisah ketokohan mendiang Karpal dalam bidang politik dan perundangan.

kak fadh Fadhlina yang juga seorang peguam berkata, melihat mendiang Karpal di mahkamah adalah saat paling manis dalam hidup beliau, terutama suara, tonasi, gaya, hujah dan pembelaannya.

“Ketika berusia 13 tahun, saya memberitahu seluruh kelas bahawa ingin menjadi seperti beliau (Karpal) hingga membuatkan mereka tertanya siapakah dia?

“Innalillahi wainnailayhi rajiun. Harimau Jelutong, bersemadilah dengan tenang,” katanya.

Sementara itu, Peguam, Azizah Aling, menyifatkan mendiang Karpal sangat senior dan kaya pengalaman serta merendah diri saat berurusan dengan peguam muda, selaku petugas mahkamah.

Katanya melalui laman Facebook, beliau sempat bertemu mendiang Karpal untuk satu kes prosiding pengkomitan di hadapan panel, di Mahkamah Rayuan, semalam.

kak jijah“Semalam, sehingga jam 2.30 petang, beliau ada di Mahkamah Rayuan. Sewaktu beliau tiba, bilik bicara sudah penuh dan tiada satu kerusi kosong untuk menempatkan beliau, bahkan kerusi rodanya juga sukar untuk ditolak ke hadapan.

“Saya menghampiri, lalu memaklumkan kepada beliau dan pembantunya yang setia bahawa ada tiga permohonan singkat akan didengar. Dalam tempoh 30 minit, Insya Allah semua itu boleh selesai dan beliau boleh mengambil tempat di hadapan. Dia mengangguk dan tersenyum, lalu berterima kasih.

Azizah menyifatkan, mendiang Karpal seorang yang mudah tersenyum sejak beliau mengenali tokoh itu ketika berkhidmat di Pulau Pinang dan sifat sama turut diwarisi dua anaknya yang terjun dalam bidang perundangan iaitu Gobind Singh Deo dan Ram Karpal.

“Etika kepeguaman itu sudah menjadi darah daging saya kira. Peguam muda yang masih setahun jagung dan hijau seperti kami semua patut belajar akan etika itu.

twit1Bagi pemilik akaun Twitter, Shahrizal Man Harun, mendiang Karpal adalah legenda yang pasti akan dirindui ramai kerana ketokohannya dalam politik dan perundangan.

“Salam takziah kepada keluarga mendiang atas kehilangannya. Karpal adalah bukti sebenar ‘tokoh pembangkang’, bersemadilah dengan tenang di sana,” katanya.


Pengarang :