Selangorkini
SELANGOR

DYMM Sultan Selangor hargai jasa pengorbanan Polis

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 MEI: Jasa dan pengorbanan anggota pasukan polis yang kerap berhadapan dengan pelbagai risiko ketika menjalankan tugas sentiasa mendapat perhatian dan pengiktirafan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dua pegawai polis, Pegawai Turus Pentadbiran Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Supritenden Raja Ahmad Fuad Raja Abd Rahman dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Penolong Komisiner Polis (ACP) Arjunaidi Mohamed masing-masing dikurniakan Darjah Kebesaran di Majlis Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor.

z3Raja Ahmad dianugerahkan darjah Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.IS) yang membawa gelaran Datuk dan Arjunaidi menerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor (S.M.S) sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan di sini, hari ini

Arjunaidi, 51, yang memulakan kariernya dalam pasukan polis sebagai Kadet ASP pada 1987 ketika dihubungi, berkata anugerah yang diterima anggota keselamatan itu jelas menunjukkan keprihatinan Baginda Tuanku terhadap keselamatan rakyat di Selangor.

“Kami bukan satu-satunya anggota polis yang menerima darjah kebesaran daripada Baginda, sebelum ini kami dah ramai dan saya percaya akan ada lagi pada masa akan datang yang mana ini mencerminkan sikap prihatin Baginda kepada keselamatan rakyatnya.

“Anugerah ini juga untuk semua anggota pasukan polis seluruh Petaling Jaya kerana mereka memainkan tugas dan peranan yang sangat penting menjaga keselamatan masyarakat negeri ini,” katanya dihubungi Selangor Kini.

Beliau berkata kurniaan Darjah itu membuatkan polis lebih bersemangat untuk memberikan perkhidmatan lebih baik kepada masyarakat.

Turut menerima darjah kebesaran, Menantu Sultan Selangor, Colin Salem Parbury yang menerima darjah Datuk Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S) yang membawa gelaran Datuk Setia, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa yang menerima darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) membawa gelaran Datuk Seri dan Azmi Atan menerima S.IS.

EZY


Pengarang :