SELANGOR

International Children Storytelling Camp tingkat minat bercerita

Oleh: LIZAWATI MADFA

PETALING JAYA, 29 MEI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan mengambil kesempatan menganjurkan International Children Storytelling Camp membabitkan pencerita terkenal daripada luar negara sempena musim cuti persekolahan kali ini.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong, berkata program dengan kerjasama Persatuan Benih Hijau itu bertujuan bagi menggalakkan perkembangan daya berfikir dan imaginasi kanak-kanak.

Katanya, program itu juga mampu memberi pendedahan kepada aktiviti bercerita yang masih janggal di kalangan rakyat Malaysia.

“Program bercerita ini sebenarnya sangat bagus untuk perkembangan kanak-kanak pada hari ini terutama dengan adanya saingan daripada gajet terkini seperti Ipad, ‘smart phones’ dan program televisyen.

IMG_2566a“Jadi, ibu bapa ada pilihan untuk menghantar anak mereka sertai kem untuk berkomunikasi, berinteraksi dan berimaginasi, bahkan ini semua bagus untuk perkembangan kanak-kanak,” katanya.

Terdahulu, beliau hadir menyempurnakan majlis perasmian penutup program dengan diiringi pencerita jemputan, Cassandra Wye (United Kingdom), Ariyo Faridh Zidni (Indonesia), R Jeeva (India), Fet Chen (Taiwan) dan Lee Han Chong dan Ang Ruiye (Malaysia).

Sebelum ini, program sama pernah dianjurkan pada tahun 2012, namun membabitkan penyertaan ibu bapa yang turut serta mendengar dendangan cerita daripada penecerita.

“Kita mungkin akan menganjurkan sekali atau dua kali sahaja setahun kerana bukan mudah mendapatkan pencerita ini, mereka bergerak ke serata dunia.

IMG_2472a“Untuk masa hadapan, kita harap dapat memperbaiki dan menambah baik program supaya memberi manfaat kepada lebih ramai lagi,” katanya.

Program yang dianjurkan bersama Persatuan Peminat Buku Bergambar Selangor dan Kuala Lumpur ini juga disertai 120 kanak-kanak berumur lapan hingga 11 tahun dengan empat sesi bercerita meliputi cerita dalam Bahasa Inggeris, Melayu, Mandarin dan Melayu.

Setiap penyertaan dikenakan bayaran yuran pendaftaran RM20 sahaja berbanding dengan penyertaan anjuran luar yang kebiasaannya mencecah sehingga RM150.

“Kita terpaksa terhadkan penyertaan walau banyak permintaan kerana aktiviti bercerita tidak boleh dibuat dalam jumlah yang terlalu ramai,” katanya.

-NFN-


Pengarang :