Selangorkini
SELANGOR

Kementerian Pertahanan masih membisu, belum beri jawapan isu pembenihan awan

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 MEI: Kerajaan Negeri masih menunggu persetujuan daripada Kementerian Pertahanan untuk membenarkan penggunaan kaedah Royal Rain Maker Technology daripada Thailand yang diakui terbaik di dunia untuk perlaksanaan pembenihan awan.

Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Yunus Hairi, berkata pihaknya sudah menghantar surat kepada kementerian dan sehingga kini belum menerima maklum balas.

Katanya, kebenaran perlaksanaan kaedah itu penting kerana kaedah Ejectable Flare Rack itu dikatakan membabitkan aspek keselamatan negara.

IMG_0577a“Selain hujan semula jadi diramal berlaku sehingga akhir Mei ini, Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan pembenihan awan menggunakan kaedah itu. Kita sudah bawa juruterbang dari Thailand dan sudah membuat percubaan pada 3 serta 4 Mei lalu.

“Kita mengambil keputusan untuk melakukan kaedah ini pada musim hujan bagi menggalakkan lebih banyak hujan turun untuk mengatasi musim kemarau yang dijangka berlaku Jun atau Julai ini,” katanya pada sidang media, di Bangunan SUK, di sini, hari ini.

Yunus berkata, kaedah itu juga dilakukan bagi mengatasi masalah taburan hujan yang tidak turun di kawasan empangan.

Pada masa sama, beliau memaklumkan sehingga hari ini empangan Sungai Selangor kini meningkat kepada 40.86 peratus berbanding 38.90 peratus pada pertengahan April lalu.

“Tetapi jumlah yang kita lepaskan minimum 1.2 JLH dan adakala lebihan air Sungai Selangor mencapai lebihan 1,000 JLH,” katanya.

syabasSelain itu, Yunus turut menegaskan keputusan untuk menghentikan catuan air bermula 1 Mei lalu yang dimuktamadkan Kerajaan Negeri diputuskan selepas mengambil kira kajian dan perancangan yang dibuat sebelum itu.

Katanya, antara perancangan itu termasuk menggunakan air kolam yang dipamkan ke Sungai Selangor untuk meningkatkan paras air sungai.

“Langkah ini dapat mengurangkan pelepasan air daripada empangan seterusnya menyebabkan keadaan akan lebih terkawal dan tempoh untuk empangan mencapai tahap kritikan dapat dilanjutkan,” katanya.

-NFN-


Pengarang :