Selangorkini
SELANGOR

Kerajaan Selangor ucap takziah kemangkatan Sultan Perak

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 28 MEI: Kerajaan Selangor dan seluruh rakyat negeri itu merakamkan sembah takziah atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Sha, kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.

Ucapan takziah itu disampaikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melalui laman sosial Twitter dan Facebook miliknya.

“Sebagai tanda berkabung, Kerajaan Selangor akan mengibarkan bendera negeri ini separuh tiang bermula hari ini hingga hari pemakaman,”  katanya.

agungSelain Abdul Khalid, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli turut menyampaikan ucapan takziahnya kepada keluarga Almarhum Sultan Perak melalui statusnya di Twitter.

“Al-Fatihah kepada Almarhum Sultan Perak, Tuanku Azlan Shah yang baru mangkat. Sepanjang saya di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Almarhum pernah hadir (ke MCKK) sebanyak empat kali dan saya sempat bersua muka dengan baginda,” katanya.

Almarhum yang juga Sultan Perak Darul Ridzuan ke-34 menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Ketika kemangkatan baginda, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun serta anakanda baginda yang juga Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah turut berada di sisi.

Berikutan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambery Abdul Kadir mengumumkan berita kemangkatan baginda dan seluruh negeri berkabung.

Selama tempoh perkabungan, bendera Negeri Perak perlu dikibarkan separuh tiang selama 100 hari, manakala bendera Malaysia dikibarkan separuh tiang selama tempoh perkabungan tujuh hari.

Almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar, selepas Asar esok (29 Mei).

-NFN-


Pengarang :