Selangorkini
NASIONAL

Kerugian tahunan terus meningkat, MAS perlu keluar Bursa Saham

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 MEI: Ekoran kerugian yang terus dicatatkan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad mencadangkan syarikat berkenaan keluar daripada Bursa Saham dan bergerak sebagai entiti swasta supaya lebih agresif dan rancak.

Beliau berkata, jika MAS terus dibiarkan rugi tanpa mencatatkan peningkatan keuntungan, maka rakyat turut mengalami maslaah sama kerana ia adalah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik Khazanah Nasional dengan jumlah pegangan 69.4 peratus.

Katanya, kerugian yang dialami suku pertama tahun 2014 dapat dijangkakan kerana MAS turut berhadapan kehilangan pesawat MH370, sekali gus membawa kepada sentimen negatif pasaran.

dr dzul close 01“Sekali lagi saya kemukakan syor serta pandangan daripada penganalisis kewangan apakah sudah tiba waktunya supaya MAS dibawa menjadi entiti swasta kembali atau keluar daripada Bursa.

“Biar MAS wujud sebagai entiti swasta dan boleh berfikir dengan rancak dan mungkin dapat melaksanakan satu pelan tindakan yang lebih agresif supaya program pemulihan dapat dijayakan,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, semalam.

Jelasnya, kehilangan MH370 sedikit sebanyak memberikan kesan kepada MAS yang kini berusaha memulihkan kembali prestasi mereka ke tahap yang lebih baik dan menguntungkan.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya memaklumkan Malaysia Airlines menanggung kerugian bersih RM443 juta untuk suku pertama berakhir 31 Mac lalu, berbanding RM279 juta dalam suku yang sama tahun 2013.

Pendapatan syarikat untuk suku pertama meningkat kepada RM3.6 bilion berbanding RM3.53 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu, manakala saham syarikat itu jatuh 9.0 peratus kepada 22.5 sen daripada 24.8 sen dalam suku pertama 2014.

mas“Daripada situ kita tahu walaupun jumlah dapatan banyak tetapi kerana dapatan untuk satu penumpang (yield) hanya 22.5 sen bermakna keuntungan sudah jatuh.

“Bila MAS menurunkan harga untuk mendapatkan penumpang (price war), pada masa sama kena ingat, bila beri tambang murah tidak akan dapat mengatasi harga kosnya.

“Sebab itu jumlah dapatan boleh naik tetapi keuntungan jatuh. Ringkasnya, kalau MAS terus begini, maka tidak akan dapat keluarkan daripada perangkap kitaran kerugian,” katanya.

Pada masa sama, Dzulkefly turut membidas kenyataan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz yang dilaporkan berkata kerajaan tidak akan memberikan suntikan modal baru kepada MAS kerana sudah memberikannya RM19 bilion supaya kekal stabil.

Dzulkefly berkata, kenyataan demikian disifatkan sebagai tajam dan boleh menjejaskan lagi sentimen pasaran terhadap MAS.

“Jika kamu tidak boleh membantu adalah lebih baik diam,” katanya.

-NFN-


Pengarang :