Selangorkini
NASIONAL

Keterlaluan anggap penjawat awam sertai bantah GST pengkhianat

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 2 MEI: Biro Kepenggunaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan dakwaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bahawa penjawat awam yang menyertai himpunan 1 Mei semalam sebagai pengkhianat adalah suatu tindakan melampau dan keterlaluan.

Pengerusinya, Yahya Sahri, berkata kakitangan awam tidak sepatutnya dihalang untuk menyertai perhimpunan membantah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana mereka juga mempunyai hak untuk bersuara.

Katanya, kebebasan menyatakan pendirian masing-masing terhadap sesuatu perkara atau isu juga jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Soal kakitangan bekerja dengan kerajaan itu urusan masing-masing kerana selagi mereka bekerja dan menjalankan tugas dengan amanah dan baik itu tidak menjadi masalah.

yahya-shari-01“Cuepacs sepatutnya menyatakan kakitangan awam atau pegawai tinggi yang terbabit dengan amalan rasuah itu adalah pengkhianat, tetapi mereka tidak pernah buat. Kita amat kecewa dengan kenyataan Cuepacs,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Semalam, Pengerusi Cuepacs, Azih Muda, berkata penjawat awam yang terbabit dalam perhimpunan yang menentang kerajaan itu melanggar Aku Janji dan Ikrar Perkhidmatan yangdibuat.

Beliau turut menganggap mereka (penjawat awam) yang menyertai himpunan itu sebagai pengkhianat dan boleh keluar daripada menjadi penjawat awam.

Pada masa sama, Yahya berkata, pihaknya turut menyanjung tinggi keberanian penjawat awam yang turun ke jalanan bagi menyatakan hasrat dan pendirian mereka terhadap GST yang jelas menindas serta membebankan rakyat daripada sudut kos sara hidup.

Katanya, kerajaan perlu mempunyai alternatif lain untuk membantu rakyat menjana pendapatan tambahan jika mereka memang ikhlas memperjuangkan kepentingan rakyat.

“Kalau sekadar mendengar tetapi pihak kerajaan tidak sehaluan dengan pendapat rakyat, maka tiada gunalah. Tidak cukup sekadar mendengar, rakyat ingin tindakan yang dibuat kerajaan bukan sekadar mendengar sahaja,” katanya.

-NFN-


Pengarang :