Selangorkini
SELANGOR

Puchong Perdana catat 104 kes denggi sehingga 20 Mei

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 MEI: Penduduk pangsapuri di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) diminta supaya menitikberatsoal kebersihan kawasan kediaman supaya tidak terdedah daripada ancaman demam denggi.

Hal itu kerana 259 kes demam denggi dicatatkan bermula Januari hingga 20 Mei tahun ini di lima taman selian MPSJ membabitkan kawasan Puchong dengan Puchong Perdana mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 104 kes.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi, berkata kesedaran penduduk adalah penting dan pihak MPSJ turut memainkan peranan sama dalam memastikan kebersihan sekitar supaya nyamuk aedes tidak boleh membiak terutama di kawasan pembuangan sampah.

IMG_2288aBercakap ketika merasmikan program Gotong Royong Membenteras Aedes Bersama Selebriti anjuran MPSJ dengan kerjasama penduduk Taman Puchong Permai beliau menjelaskan, kawasan hotspot denggi boleh mengundang berlakunya demam denggi.

“Objektif program ini antaranya sebagai usaha mengurangkan kadar denggi di kawasan pentadbiran MPSJ dan memberi kesedaran kepada penduduk akan bahaya denggi.

“Selain itu, kita juga mahu memberikan kesedaran kepada masyarakat supaya bertanggungjawab menjaga kebersihan serta menggalakkan penduduk untuk sama turun padang menjalankan aktiviti gotong-royong,” katanya.

IMG_2357aBeliau berkata, penyewa kebiasaannya kurang mengambil berat berkenaan kebersihan kediaman disebabkan menganggap rumah yang mereka diami bukan rumah sendiri berbanding penduduk yang membeli sendiri.

Majlis gotong-royong itu turut disertai Aman Shah Asri atau lebih dikenali sebagai Am Raja Lawak selain sukarelawan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).

-NFN-


Pengarang :