Selangorkini
NASIONAL

Anwar: Pengarah UMCEDEL mangsa penguasa angkuh

Oleh:LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 30 JUN: Tindakan pemecatan serta merta Profesor Datuk Dr Mohamad Redzuan sebagai Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) dilihat mengecewakan serta tidak wajar.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tindakan itu jelas bertujuan memberi amaran kepada semua ahli akademik bahawa kebebasan mereka akan berakhir jika gagal mempertahankan kepentingan Umno.

Katanya, penghukuman itu akan menimpa mereka yang menyokong sebarang pandangan atau pendapat yang kelihatan kritikal terhadap Umno, apatah lagi yang memihak kepada pembangkang.

prof redzuan“Dalam pentadbiran yang rakus ini, kebebasan mengkritik adalah hak mutlak kepada mereka sasarannya adalah pemimpin Pakatan Rakyat (PR) atau mereka yang kritikal terhadap Umno-BN.

“Nasib yang sama juga menimpa pakar ekonomi terkenal, Prof Jomo KS; profesor sains politik, Prof Dr P. Ramasamy dan pakar perlembagaan dan undang-undang, Dr Aziz Bari tidak lama dahulu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sebelum ini, The Malaysian Insider melaporkan, Prof Mohamad Redzuan yang juga Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) UM tidak disambung bagi jawatan itu.

Tindakan itu didakwa dilakukan universiti atas tekanan Kementerian Pendidikan ekoran rasa tidak puas hati Putrajaya terhadap beberapa tinjauan politik yang dijalankan UMCEDEL.

AnwarSehubungan itu, Anwar memberi amaran kepada kepada Kerajaan Pusat bahawa tindakan itu melanggar kebebasan akademik dan mengkhianat harapan rakyat.

“Saya ingin mengingatkan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato Seri Idris Jusoh bahawa kuasa pelantikan dan pemecatan bukannya mutlak.

“Tindakan terbaru ini bukan sahaja melanggar kebebasan akademik, bahkan pengkhianatan terhadap harapan rakyat berkenaan peningkatan mutu dan kedudukan institusi pengajian tinggi. Prof Redzuan sekali lagi menjadi mangsa penguasa angkuh yang enggan melihat sarjana bersikap bebas dan berani,” katanya.

-NFN-


Pengarang :