SELANGOR

Faekah Husin dilantik Pegawai Penyelaras DUN Pelabuhan Klang

Oleh: NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 28 JUN: Ketua Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI), Faekah Husin dilantik menjadi Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN), Pelabuhan Klang bagi membantu Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengendalikan tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan terbabit.

Abdul Khalid berkata, tindakan itu dilakukan supaya penduduk Pelabuhan Klang tidak dipinggirkan ekoran kesibukan beliau sebagai orang nombor satu negeri itu.

“Sebagai Menteri Besar, saya sangat sibuk mengendalikan hal negeri. Walaupun turun ke kawasan DUN, tetapi saya juga tidak mahu penduduk merasa terpinggir akan usaha yang akan dilakukan nanti,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan sempena Ramadan, di Kampung Perigi Nenas, di sini, hari ini.

MB-FAEKAHAbdul Khalid berkata, Faekah akan dapat meluangkan masa bagi mengadakan program ‘klinik’ dan meluangkan masa dalam menyelesaikan masalah di kawasan DUN dengan adanya Pegawai Penyelaras.

“Beliau akan dapat menyelesaikan masalah berhubung tanah terbiar, tidak kenal pasti pemilik tanah dan menyelarikan usaha pembangunan tanpa meminggirkan penduduk,” katanya.

Pada masa sama, Abdul Khalid akan meminta syarikat Central Spektrum (M) Sdn Bhd untuk melakukan kajian dan soal selidik semua isu rumah penduduk Pelabuhan Klang bagi mengetahui kedudukan sosioekonomi mereka.

Katanya, hal itu bagi mengenal pasti cara untuk meningkatkan pendapatan keluarga mereka.

mb khalid pelabuhan klang calon 01“Kajian itu boleh dilakukan pensyarah universiti, pelajar atau pakar sosioekonomi. Jumlah kos untuk jalankan kajian ini, saya rasa tidak sampai RM100,000 berbanding jualan syarikat itu dan tidak ada sebab kita tidak boleh jalankan,” katanya.

Beliau berkata, Pejabat Tanah juga diminta bekerjasama dalam hal itu bagi memastikan kelancaran kajian berkenaan.

“Dengan itu, kita benar-benar faham akan cara untuk tingkatkan pendapatan mereka. Kita tidak mahu melakukan pembangunan tetapi meminggirkan penduduk,” katanya.

-NFN-


Pengarang :