Selangorkini
NASIONAL

Galak keganasan daripada keharmonian, lebih baik Zahid berundur

SHAH ALAM, 30 JUN: Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkenaan insiden kepala lembu yang diletak di hadapan rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang, RSN Rayer seperti menggalakkan keganasan dan membenarkan jenayah.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil, berkata Zahid sebagai seorang menteri tidak perlu mengeluarkan kenyataan itu.

“Kenyataan Zahid menggambarkan beliau tidak melihat kejadian itu sebagai jenayah dan hanya membiarkan saja tindakan terbabit dilakukan. Zahid sebagai menteri bertanggung jawab perlu mengarah polis menjalankan siasatan segera.

ZAHID HAMIDI“Kenapa perlu keluarkan komen yang menggalakkan lagi permusuhan antara rakyat, bahkan menyentuh sensitiviti penganut agama lain,” katanya yang dipetik daripada Keadilan Daily, di sini, hari ini.

Zahid sebelum ini berkata, insiden itu sebagai ‘harga’ yang perlu dibayar Rayer berhubung kenyataan ADUN DAP itu yang menggelar beberapa pemimpin Umno sebagai ‘celaka’ pada sidang DUN bulan lalu.

Kenyataan itu dibuat Zahid susulan kejadian pihak tertentu meletakkan kepala lembu di hadapan rumah Rayer, baru-baru ini.

Zahid sebelum ini juga beberapa kali mengeluarkan kenyataan kontroversi seperti mewajarkan tindakan anggota polis menembak suspek penjenayah yang turut dibidas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

FahmiSehubungan itu, Fahmi berkata, adalah lebih baik Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri jika tidak lagi berminat memastikan keharmonian negara terjamin.

“Lebih baik Zahid meletak jawatan kerana daripada kenyataan yang dilakukan hanya mengambarkan beliau tidak lagi berminat untuk pastikan negara ini aman.

”Banyak komen yang dibuat Menteri Dalam Negeri itu seperti menggalakkan keganasan daripada memupuk keharmonian,” katanya.


Pengarang :