Selangorkini
SELANGOR

Keputusan KIDEX perlu profesional, bukan sebab politik

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 JUN: Sebarang keputusan berhubung projek Lebuhraya Damansara – Kinrara (KIDEX) akan dilakasanakan berdasar pertimbangan profesional demi memelihara kepentingan rakyat bukan kepentingan politik.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, menggalakkan pihak terbabit menjelaskan kepada masyarakat umum berkenaan projek yang dianggap mampu menyelesaikan kesesakan lalu lintas sehingga 20 tahun akan datang.

“Baik untuk kita mendengar penerangan daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia, KIDEX dan perancang negeri bagaimana mereka merancang untuk menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya hari ini dan 20 tahun akan datang.

a2“Oleh sebab itu sebagai seorang profesional, saya tidak boleh buat keputusan atas desakan pemikiran politik sahaja.

“Kita kena ambil kira kepentingan rakyat dan bagaimana cara terbaik untuk menyelesaikannya,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Badminton Jemputan Antarabangsa Piala Foo Kok Keong 2014, di sini, semalam.

Abdul Khalid juga menyarankan pihak yang terbabit dalam projek itu mencari alternatif bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.

“Jika perkara itu tidak betul, kita perlu cari jalan membetulkannya bukan terus menghentikannya tanpa sebab dan altenatif lain untuk memperbaikinya,” katanya.

Sementara itu, Kejohanan Badminton Jemputan Antarabangsa Piala Foo Kok Keong 2014 yang dilangsungkan pada 6 hingga 8 Jun ini di Gelanggang Badminton Kelab Shah Alam bakal menampilkan bekas pemain badminton dalam dan luar negara.

a4Antara bekas pemain badminton negara yang dijangka menyertai pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai RM40,000 itu adalah Foo Kok Keong, Razif Sidek, Rahman Sidek, Soh Goon Chup dan Tan Kim Soon.

Selain bekas pemain badminton negara, pasukan jemputan dari Indonesia, Thailand dan Singapura dijangka turut membariskan bekas pemain handalan mereka.

-NFN-


Pengarang :