Selangorkini
SELANGOR

Kes curi pasir berulang di Semenyih, banteras sebelum berleluasa

Oleh: HAFIZAN TAIB

SEMENYIH, 19 JUN: Kes curi pasir didakwa berulang kembali di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih sejak akhir-akhir ini apabila beberapa kawasan dikatakan diberi tumpuan pihak tidak bertanggungjawab.

Terbaru, lori mengangkut pasir didakwa dikesan memasuki kawasan Kampung Sri Pening, di sini, bagi menjalankan operasi membawa keluar bahan itu yang dipunggah di kawasan sungai kampung berkenaan.

Curi Pasir-GrafikPengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pasir Baru, Arif Bujang, berkata aktiviti seperti itu harus mendapat perhatian pihak berkuasa supaya dapat dibanteras daripada berleluasa.

“Aktiviti curi pasir di kawasan ini memang berjalan sejak sekian lama sebelum Kerajaan Negeri bertukar tangan. Bagaimanapun, banyak berkurangan selepas itu.

“Kes terbaru ini saya kesan kira-kira minggu lalu apabila lori mengangkut pasir masuk ke kampung ini. Pemandu lori mengatakan pasir itu digunakan bagi tujuan meninggikan tanah di tebing untuk menghalang daripada berlaku banjir,” katanya kepada Selangor Kini.

Arif bagaimanapun curiga dengan penjelasan diberikan dan berdasarkan maklumat diberi diyakini terdapat ‘pihak tertentu’ menjalankan operasi terbabit tanpa kelulusan.

Dakwanya, laporan polis tidak dibuat terhadap kes terbaru itu berikutan pihak terbabit berjanji tidak akan memasuki kawasan kampung itu lagi.

Sejak 2008, katanya, hampir 20 laporan polis dibuatnya termasuk kepada Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat dan tindakan susulan diambil pihak berkuasa selepas itu.

“Memang banyak kawasan di sini yang menjadi tumpuan pengusaha pasir. Salah satu adalah kawasan penempatan Orang Asli iaitu Kampung Sungai Lalang.

“Saya akan memantau perkembangan yang berlaku di Sungai Pening. Saya yakin jika  tidak dipandang serius, ia akan berulang,” katanya.

-EZY-


Pengarang :