Selangorkini
SELANGOR

LLM masih belum beri jajaran Kidex

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 21 JUN: Pembinaan Lebuhraya Kinrara Damansara (Kidex) masih belum dimasukkan dalam mana-mana rancangan tempatan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga masih belum memberi cadangan jajaran untuk pembinaan lebuh raya itu.

kidexOleh itu, katanya, desakan untuk Kerajaan Negeri tidak seharusnya timbul pada peringkat ini kerana ia masih dalam perancangan secara dasar sahaja.

“Kita mengikut tatacara dengan LLM akan memberikan jalur-jalur jalan yang mereka mahu bina, kemudian baru Kerajaan Negeri akan memberikan kepada PBT untuk hebahan masyarakat di kawasan berkenaan.

“Oleh sebab kita masih belum dapat dari LLM, Kerajaan Negeri pun belum meminta PBT untuk mengumumkan perancangan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Masjid Shah Alam di sini yang turut dihadiri Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehin Mukhyi.

Baru-baru ini, beberapa ADUN Selangor dalam satu sidang media mendesak Kerajaan Negeri tidak memasukkan pembinaan Kidex dalam pelan rancangan tempatan di peringkat PBT.

Sehubungan itu, Abdul Khalid juga mengingatkan semua pihak untuk tidak berbincang perkara yang masih di peringkat dasar dan belum ada hitam putih.

“Isu itu sebenarnya tidak timbul sebab belum dapat dari LLM. Kalau sudah dapat baru lepas itu masyarakat boleh pantau, bincang dan tentukan sama ada boleh diteruskan atau tidak.

“Kalau belum ada apa-apa terjadi dan kita tidak tahu mana jalur jalannya, macam mana kita nak buat,” katanya lagi.

EZY


Pengarang :