Selangorkini
SELANGOR

PKNS sumbang saguhati kepada 119 pelajar cemerlang

ccsb-ads

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 JUN: Badan Islam Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyediakan insentif kepada kakitangan dan ahli keluarga yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan 2013 ekoran menyedari peranan pendidikan adalah elemen penting dalam mencorak pembangunan negara.

Insentif berbentuk hadiah saguhati yang keseluruhannya bernilai RM44,000 itu diberikan kepada 119 orang kakitangan dan anak kakitangan yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), 9A bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR), 11A bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diploma, sarjana muda serta sarjana.

Pemangku Pengurus Besarnya, Mazlan Md Alifiah, berkata PKNS juga menyediakan biasiswa atau dermasiswa kepada mereka yang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

IMG_3018a“Bagi membantu anak kakitangan yang ingin menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, PKNS menyediakan biasiswa atau dermasiswa untuk mereka mengikuti ijazah sarjana muda sepenuh masa.

“Manakala, kakitangan turut ditawar untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sijil, diploma, sarjana muda, ijazah lanjutan dan kursus profesional sepenuh masa atau secara sambilan,” katanya dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Peperiksaan 2013 di Dewan Kemajuan, Kompleks PKNS, di sini, hari ini.

Seramai 14 orang pelajar cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan PSRA, 21 (PMR), 31 (SPM), seorang STPM, 25 diploma, sarjana muda dan empat peringkat sarjana menerima hadiah saguhati yang disampaikan Mazlan.

IMG_3045aAntara penerima anugerah itu adalah Penolong Pengurus Bahagian Sumber Manusia PKNS, Azura Ramli yang menamatkan pengajian peringkat Sarjana Eksekutif Sains Pentadbiran di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Alhamdullilah, kerana mendapat pengiktirafan daripada majikan saya sendiri. Ini adalah titik tolak untuk saya ke peringkat lebih tinggi lagi iaitu Doktor Falsafah. Terima kasih PKNS.

“Kerja pejabat memang banyak dan ditambah dengan tugasan yang diberikan pensyarah tetapi saya sediakan jadual untuk memudahkan pembahagian masa,” katanya.

Sementara itu, anak kepada kakitagan PKNS, Muhammad Azfar Saiful Izzhar yang menamatkan pengajian peringkat Ijazah Pemasaran di UiTM pula memberitahu teknik pembelajaran yang betul adalah faktor penting dalam kejayaannya menamatkan pengajian.

“Bukan dengan belajar teruk tetapi yang penting adalah betul, baru mudah untuk kita menguasai apa yang dipelajari,” katanya.

IMG_2998aSeorang lagi anak kepada kakitangan PKNS, Elham Rasyidah Ramlee yang memperoleh 11A dalam SPM memberitahu dia sentiasa fokus apa yang diajar guru di dalam kelas.

“Saya bersekolah harian bukan seperti di asrama yang ada jadual ketat. Jadi, kalau di rumah biasanya saya tidak memberi tumpuan pada pelajaran, tetapi di sekolah dan kelas tuisyen akan fokus apa yang diajar cikgu,” katanya.

-NFN-


Pengarang :