Selangorkini
SELANGOR

Komited bangun sukan OKU, lahirkan ramai atlet paralimpik

Oleh: NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Kerajaan Selangor menyumbang bantuan sebanyak RM30,000 kepada Persatuan Orang Pekak Selangor bagi menampung perbelanjaan atlet persatuan itu yang menyertai Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) ke-18, bermula 13 Jun ini.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail, berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri turut menaja dua buah bas untuk kegunaan atlet dan pegawai ke acara berkenaan.

“Kerajaan Negeri kini dalam proses untuk memberi tumpuan sepenuhnya dalam bidang sukan kerana melihat ramai atlet yang berbakat dalam bidang ini. Tahun ini, saya dan Exco Sukan, Dr Yunus Hairi bercadang memberi tumpuan kepada sukan Orang Kurang Upaya (OKU).

01“Setakat ini, kita dapati persatuan ini adalah yang paling aktif di Malaysia dan Kerajaan Negeri akan membantu usaha murni ini,” katanya ketika ditemui di majlis penyerahan cek, di Pejabat Persatuan Orang Pekak Selangor, di Bandar Sri Permaisuri, di sini, semalam.

Rodziah berkata kejayaan atlet OKU yang memenangi pingat Perak dan Gangsa pada sukan Paralimpik di London 2012 patut dijadikan contoh.

“Mohd Ziyad Zulkefli, atlet olahraga menang pingat gangsa, manakala Hasihin Nawawu iaitu atlet memanah menang pingat perak. Kita lihat mereka ini mempunyai potensi dan wajar dijadikan contoh kepada atlet lain,” katanya.

Sementara itu, Presiden SOPMA negeri, T Henry Jayaraj, berkata pihak persatuan sangat menghargai sumbangan terbabit dan berharap atlet berjaya membawa balik pingat seterusnya mengharumkan nama negeri dengan adanya sokongan daripada Kerajaan Selangor.

“Dengan sokongan ini, ia akan meningkatkan semangat pemain dan akan berusaha untuk membawa balik pingat,” katanya.

02Selangor kali ini mengambil bahagian dalam lima acara sahaja iaitu olahraga, futsal, badminton, tenpin dan bola sepak, manakala Sopma ke-18 tahun akan diadakan di Melaka bermula 13 hingga 20 Jun ini.

Majlis perasmian SOPMA ke-18 akan diadakan di Stadium Hang Tuah pada 16 Jun ini, manakala majlis penutup turut berlangusng di lokasi sama, pada 20 Jun ini.

Sukan itu membabitkan kira-kira 1,000 atlet kurang upaya pendengaran termasuk pegawai dari seluruh negara.

-NFN-


Pengarang :