Selangorkini
BERITA UTAMA

Siapa buat rekaan politik Muhyiddin mahu berhenti?

ccsb-ads

Oleh: SHAHBUDIN HUSIN

PERDANA Menteri, Najib Razak akhirnya bersuara berhubung kedudukan timbalannya, Muhyiddin Yassin di dalam Kabinet dengan menyatakan laporan media sosial mengenai perkara itu hanyalah rekaan politik politik pihak-pihak tertentu saja.

Najib berkata lagi, beliau mempunyai hubungan dan persefahaman yang amat baik dengan timbalannya itu, bahkan Muhyiddin juga sentiasa mendukung dan menjayakan segala dasar pembangunan nasional terutama yang berkait dengan transformasi negara.

Apabila Najib berkata, isu peletakan jawatan Muhyiddin itu semata-mata rekaan politik pihak-pihak tertentu, apa yang menjadi perhatian sekarang ialah, siapakah pihak tertentu itu?

Adakah ia dalam pengetahuan Najib dan beliau memandang serius mengenainya? Atau beliau tidak langsung mengambil berat mengenainya?

Umno-Najib-Muhyidin-1Apakah pihak tertentu yang dimaksudkan Najib itu adalah kumpulan yang mahu menggugat kepimpinannya yang sedang berhadapan dengan pelbagai masalah sekarang ini?

Adakah juga mungkin pihak tertentu itu dari kumpulan Muhyiddin sendiri yang bertujuan untuk menguji sejauh mana Perdana Menteri benar-benar memerlukan Muhyiddin sebagai timbalannya?

Mungkinkah juga penyebaran berita itu sengaja direka oleh salah seorang Naib Presiden Umno yang ada sekarang yang sudah tidak sabar lagi mahu mengambil alih tempat Muhyiddin itu? Jika ia benar, siapakah di antara tiga Naib Presiden Umno yang ada sekarang yang paling mungkin menyebarkan cerita rekaan itu?

Apakah ianya daripada orang-orang Zahid Hamidi yang merasakan Menteri Dalam Negeri itu paling layak untuk menggantikan Muhyiddin berikutan sudah dua kali mendapat undi tertinggi dalam perebutan jawatan Naib Presiden Umno?

Adakah ini mungkin kerja kumpulan Shafie Apdal yang menyebarkan cerita rekaan itu untuk disesuaikan dengan adanya sekarang ini desakan perlunya Timbalan Perdana Menteri dilantik daripada Borneo untuk menanangi pelbagai isu ketidakpuasan hati penduduk kedua negeri itu terhadap Putrajaya?

Tidak mustahilkah cerita rekaan ini dilakukan oleh orang-orang Hishammuddin dengan maksud melalui ketiadaan Muhyiddin nanti, peluangnya juga menjadi terbuka untuk menjadi pemimpin nombor dua dalam negara?

Dalam pada itu, mungkinkah isu Muhyiddin ini sengaja direka oleh orang-orang Najib sendiri dengan tujuan memberi tekanan agar Timbalan Perdana Menteri itu segera mengundurkan diri. Ini kerana Muhyiddin dilihat lebih sebagai pesaing berbanding pengikut kepada Najib, selain kedua-dua mereka juga mempunyai perbezaan stail dan gaya.

najib muhyiddin putrajayaWalaupun sehingga ini Muhyiddin tidak pernah bersetuju dengan desakan agar beliau menentang Najib, tetapi kedudukan Najib belum lagi seratus peratus selamat memandangkan satu demi satu isu yang timbul sentiasa membuatkan kerusi Perdana Menteri yang didudukinya berada dalam kedudukan dalam kedudukan bergoyang.

Lantaran itu, jika berlaku sesuatu yang menggugat Najib, orang yang paling mudah ditonjolkan ialah Muhyiddin. Jika Muhyiddin tiada lagi dalam Kabinet, Najib boleh dikatakan tidak tergugat langsung biar bagaimana besar sekali pun gugatan yang diterimanya.

Atau mungkinkah cerita rekaan ini disebarkan oleh kumpulan Mahathir dan Daim yang hari demi hari semakin banyak rasa tidak puas hatinya terhadap kepimpinan Najib?

Secara mudahnya, jika benar kata Najib bahawa spekulasi mengenai Muhyiddin ini hanyalah rekaan politik pihak-pihak tertentu, tentulah ia direka oleh mereka yang sudah dapat membaca apa keuntungan daripadanya. Tentulah tidak mungkin ia direka oleh pihak-pihak yang tiada kepentingan atau sekadar suka-suka saja.

Dalam semua orang yang diandaikan berkemungkinan menyebarkan cerita rekaan itu, siapakah yang paling besar untungnya?

Mungkinkah Najib sebenarnya tahu siapa pereka cerita ini atau mungkinkah Najib sengaja berkata begitu untuk menutup perancangan lain yang sedang difikirkannya?

Bukanlah asing dalam politik, perkara yang dinafikan itu akhirnya menjadi sesuatu yang benar akhirnya. Di era kepimpinan Mahathir selama 22 tahun, banyak sekali perkara yang bermula dengan khabar angin, kemudian dinafikan tetapi akhirnya betul-betul menjadi kenyataan.

Peletakan jawatan Musa Hitam dan pemecatan Anwar Ibrahim misalnya, kedua-duanya dinafikan pada awalnya oleh Mahathir tetapi akhirnya tetap menjadi kenyataan.

Di era Najib pula, tidak sampai seminggu selepas beliau menafikan Ahmad Said akan ditukar sebagai Menteri Besar Terengganu, namun akhirnya hayat politiknya dipancung hanya beberapa hari sebelum kenduri kahwin anak perempuannya.

Sementara ramai mula menelah siapakah yang dimaksudkan Najib pihak tertentu yang cuba menyebar cerita rekaan politik mengenai kedudukan Muhyiddin ini, dan sebelum itu Muhyiddin juga sudah menafikan beliau akan berundur, apa pun yang di luar jangkaan atau sudah dinafikan, tetap tidak mustahil akan berlaku.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Selangor Kini.


Pengarang :