Selangorkini
SELANGOR

Tingkat penguatkuasaan undang-undang, atasi pembakaran terbuka

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 18 JUN: Kerajaan Negeri mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang di semua agensi dalam usaha mengurangkan kes kebakaran kawasan tanah gambut yang menjadi punca jerebu.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong, berkata ia membabitkan undang-undang larangan melakukan pembakaran terbuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Katanya, tindakan seumpama itu juga dilakukan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) bagi mengenakan tindakan setimpal ke atas pihak yang melakukan pembakaran terbuka.

gambar hiasan

“JAS juga sudah menjalankan program pemantauan dan rondaan darat ke atas kawasan berisiko tinggi seperti tanah gambut dan tapak pelupusan sampah.

“Ia turut dilaksanakan melalui penerbangan udara dengan kerjasama Unit Udara Polis dan penerbangan swasta bagi pengesanan awal mengelak kebakaran daripada terus merebak,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Dr Xavier Jayakumar (PKR-Seri Andalas) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DNS), di sini, semalam.

Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke 30/2012 pada 15 Ogos 2012 juga memutuskan PTD berhak merampas tanah terbiar walaupun mempunyai pemilik apabila menjadi punca pembakaran terbuka.

elizabeth-sidang-dun-blue-01Elizabeth berkata, Kerajaan Negeri turut melebarkan usaha menangani masalah jerebu dengan menubuhkan Unit Penguatkuasaan Khas di Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi memantau kawasan pertanian Revolusi Hijau, Johan Setia, Klang.

“Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perhutanan serta Jabatan Mineral dan Geosains juga melaksanakan langkah pencegahan pembakaran terbuka di kawasan hutan (tanah gambut) dengan kaedah ‘Water Management System’ melalui pembinaan ‘Checkdam’ dan pembinaan telaga air tanah (Tubewell) untuk mengawal kebakaran daripada terus merebak,” katanya.

-NFN-


Pengarang :