Selangorkini
NASIONAL

Zahid perlu tunjuk komitmen wajar, bukan bermulut celupar

Oleh: LIZAWATI MADFA

KLANG, 30 JUN: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi dicabar untuk mengulangi semula kenyataannya berhubung insiden penemuan kepala lembu di hadapan rumah wakil rakyat DAP, RSN Rayer, di Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan, berkata Zahid sepatutnya menunjukkan komitmen yang sewajarnya sebagai seorang menteri kabinet dan beragama Islam.

Katanya, kenyataan endah tak endah itu juga hanya menunjukkan Zahid yang sebenarnya bermulut celupar.

Zahid-Hamidi“Jika dia berani ulanglah semula di bulan Ramadhan yang mulia ini. Tunjukkan sama ada pemimpin Umno ini benar-benar celupar atau dia juga ada perasaan takut kepada Tuhan.

“Tetapi kalau rasa takut pun, janganlah bulan Ramadhan saja, takutlah pada Tuhan hari-hari,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Zahid yang menyifatkan insiden kepala lembu yang ditinggalkan di depan rumah Rayer sebagai balasan ke atas keceluparan mulutnya.

Zahid dipetik sebagai berkata, beliau bersimpati dengan Rayer tetapi itulah harga yang perlu dibayar kerana mulut celupar.

Manivanan Gowin 4aKenyataan Zahid itu bukan sahaja mengundang kemarahan pemimpin parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam, tetapi turut ditempelak rakan komponen Barisan Nasional (BN) sendiri.

Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Ti Lian Ker, berkata respon Zahid hanya akan menggalakkan keganasan dan menjadikan undang-undang Malaysia tidak berfungsi.

Sementara itu, GERAKAN pula mendesak Zahid melihat insiden itu secara serius kerana ia bukan perkara main-main kerana membabitkan keselamatan wakil rakyat.

Pada 28 Jun lalu, kepala lembu ditemui di hadapan rumah Rayer dan dipercayai mempunyai kaitan dengan ucapan kontroversinya sebelum ini yang menggelarkan beberapa pemimpin Umno sebagai celaka.

-NFN-


Pengarang :