Selangorkini
NASIONAL

20,000 pengguna kongsi video wartawan Amerika kecam Zionist

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 17 JULAI: Video seorang wartawan warganegara Amerika Syarikat yang berang dengan tindakan kejam tentera Israel melakukan serangan ke atas wilayah Gaza di Palestin mendapat perhatian seluruh dunia terutama di laman sosial.

Sehingga kini, dianggarkan lebih 20,000 pengguna laman sosial Facebook berkongsi video berkenaan secara peribadi di akaun masing-masing dengan harapan ia akan ditonton lebih banyak pihak.

Abby-MartinPaparan video berdurasi tiga minit dalam program Russia Today (RT) itu menunjukkan Abby Martin, 30 secara terbuka menyatakan kekesalannya terhadap insiden yang berlaku di Gaza selain menyelar media arus perdana yang hanya melaporkan maklumat dari sebelah pihak sahaja.

Abby atau nama sebenarnya Abigail Suzanne Martin turut menempelak kerajaan Amerika Syarikat kerana menyokong serangan itu yang berkata organisasi pengganas dari Gaza yang memulakannya dengan sengaja untuk mencederakan orang awam di Israel.

Malah kenyataan dari Setiausaha Akhbar White House, Josh Earnest itu berkata pihaknya menghargai panggilan secara terbuka oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk “bertindak secara bertanggungjawab”.

“Apakah yang dimaksudkan dengan “bertindak secara bertanggungjawab?” Saya pasti berada di alam dongeng kerana bagi saya hukuman terhadap seluruh penduduk Gaza bertentangan dengan “bertindak secara bertanggungjawab” yang dimaksudkan Netanyahu.

“Hanya dalam tempoh 24 jam, tentera Israel sudah membuat serangan udara ke atas 160 kawasan di Gaza dengan 560 kawasan telah dibom sehingga kini.

“Kerajaan Amerika boleh terus mengatakan hak Israel untuk mempertahankan negara, tetapi lihatlah peningkatan jumlah korban di Gaza, di mana tiada seorang pun warga Israel yang terkorban dari serangan roket Hamas,” kata Abby sinis.

Beliau dengan tegas mengutuk serangan yang berlaku dan meningatkan media antarabangsa supaya tidak memberi gambaran kitaran keganasan yang sama terhadap kedua-dua pihak.

Abby berkata hakikatnya pihak Israel adalah penjajah yang menindas, manakala Palestin adalah mangsa yang dijajah dan ditindas.

“Saya rasa sakit hati melihat sahabat Palestin yang kehilangan ahli keluarga dan sahabat handai setiap kali Israel menyerang orang yang tidak bersalah.

“Adakah merobohkan rumah, membuat tangkapan besar-besaran dan mengebom orang awam dikatakan sebagai “bertindak secara bertanggungjawab?”

“Saya fikir berapa ramai pula orang yang akan mati untuk mentakrifkan tindakan yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya lagi.

Tentera zionis Israel terus melakukan penindasan terhadap warga Palestin dengan melancarkan kempen memburu Ahli Parlimen Palestin (PLC) dan ahli akademik di Tebing Barat.

Sehingga kini dilaporkan seramai 36 ahli parlimen Palestin berada dalam tahanan penjara Israel.

Israel melakukan serangan pembunuhan ke atas jalur Gaza sejak Isnin minggu lalu yang mengakibatkan lebih 170 rakyat Palestin syahid, majoritinya orang awam, wanita dan kanak-kanak.

EZY


Pengarang :