Selangorkini
NASIONAL

Bank Negara patut kembalikan Skim Tanggungan Faedah Pemaju bantu pembeli hartanah kali pertama

SHAH ALAM 12 JULAI: Bank Negara seharusnya mengembalikan Skim Tanggungan Faedah Pemaju bagi pembeli hartanah kali pertama bernilai bawah RM400,000 untuk menimbal balik sebarang kesan inflasi negatif serta pembayaran semula pinjaman tinggi berikutan kenaikan kadar faedah sebanyak 0.25 peratus dari 3 peratus menjadi 3.25 peratus.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata kenaikan kadar faedah akan membawa kesan inflasi, meningkatkan kos sara hidup serta melemahkan perbelanjaan penggunaan apabila lebih banyak wang diperlukan untuk membayar semula pinjaman.

lim guan engKatannya, ini bukan sahaja mengurangkan wang belanja bagi semua peminjam sedia ada untuk kesemua jenis pinjaman, menambahkan kos pendanaan bagi perniagaan yang akan mengakibatkan kenaikan harga barang malah akan turut menyusahkan pembeli kali pertama untuk mendapatkan kelulusan pinjaman.

“Salah satu daripada aduan utama pemaju dan pembeli kali pertama adalah kesukaran untuk mendapatkan kelulusan pinjaman akibat daripada syarat kebolehan membayar balik yang begitu ketat dikenakan oleh Bank Negara,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata sebarang kenaikan kadar faedah akan membebankan peminjam tanpa sebarang langkah timbal balik untuk membantu mereka membayar semula pinjaman masing-masing.

“Mengembalikan DIBS untuk hartanah bernilai bawah RM400,000 akan memudahkan pembeli kali pertama dan menyemai demokrasi perumahan,” katanya.

DIBS adalah satu bentuk Skim Permodalan Faedah (Interest Capitalization Scheme, ICS) di mana kos faedah dipermodalkan atau dirangkumkan dalam nilai jualan, daripada dibayar oleh peminjam.

Sewaktu tempoh pembinaan, pemaju (dan bukan pembeli) membayar sebarang faedah yang terkumpul untuk pinjaman perumahan sehinggalah pembinaan siap. Bagi menawarkan DIBS, pemaju menyertakan kos bayaran faedah sekali ke dalam nilai jualan.

Ini membolehkan pembeli membeli rumah mereka dengan membayar 10 peratus dan memberi ruang dengan tidak membayar faedah dan sewa pada masa yang sama sambil menanti rumah mereka siap dibina.

“Malangnya, Kementerian Kewangan dan Bank Negara telah menolak cadangan untuk mengembalikan DIBS,” katanya.

 


Pengarang :