Selangorkini
SELANGOR

DYMM Sultan: Rakyat perlu lupakan ideologi politik, kukuhkan silaturrahim

Oleh :LIZAWATI MADFA

HULU LANGAT, 25 JULAI: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya seluruh rakyat melupakan sementara segala ideologi serta fahaman politik.

Baginda bertitah, rakyat perlu menumpukan sepenuhnya perhatian kepada amal ibadat dan bersatu padu serta mengukuhkan silaturrahim antara satu sama lain.

Dengan itu, titah baginda, rakyat akan mendapat faedah serta kebaikan daripada Allah.

sultan“Oleh yang demikian, marilah kita berfikiran positif, bersangka baik, serius dan ikhlas dalam melaksanakan segala kewajipan serta tanggungjawab kepada keluarga, agama juga negara.

“Beta harap kita semua akan dapat menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan sebaik mungkin,” titah baginda di hadapan hampir 1,000 hadirin ketika majlis berbuka puasa bersama rakyat dan perasmian Masjid Teras Jernang, di sini, semalam.

Turut mengiringi baginda adalah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Selain itu, baginda turut menyampaikan ucapan selamat hari raya aidilfitri bagi tahun 1435 hijrah kepada seluruh rakyat.

sultan“Semoga rakyat beta dapat menyambutnya dengan keadaan yang selamat dan sejahtera. Beta juga berharap seluruh rakyat sentiasa berhati-hati dan berwaspada ketika memandu walau di mana berada,” titah baginda.

Pada majlis sama, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 300 orang penerima fakir dan miskin, 150 saudara baru serta 148 anak yatim.

-NFN-


Pengarang :