Selangorkini
SELANGOR

Hujan bukan penghalang lebih 1,000 berbuka puasa bersama Sultan

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 2 JUL: Lebih 1,000 rakyat tidak melepaskan peluang berkumpul dalam majlis berbuka puasa bersama DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Bukit Jelutong semalam.

Meskipun hujan mula membasahi bumi seawal jam 6 petang, ia tidak menghalang rakyat terus membanjiri pekarangan Masjid Tengku Ampuan Jemaah hingga lewat waktu berbuka.

SultanDalam majlis itu, Baginda Sultan turut berkenan menerima sumbangan zakat perniagaan daripada Sime Darby Property Berhad (SDPB) berjumlah RM1juta bagi tahun kewangan berakhir 2014.

Sumbangan zakat disampaikan Pengarah Urusan SDPB yang juga merangkap Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sime Darby Berhad, Datuk Abdul Wahab Maskan.

Baginda Sultan turut berkenan menyampaikan sumbangan zakat kepada 293 golongan miskin, 87 golongan fakir, 139 anak yatim serta 150 golongan mualaf bagi meringankan beban mereka dalam menyambut Ramadan dan Syawal nanti.

Kesemua mereka menerima sumbangan RM500 setiap seorang kecuali anak yatim yang menerima RM100 seorang, menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM236,900.

Majlis anjuran SDPB dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu turut disertai Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

SultanHadir sama ialah Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan juga Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Muhamed Khusrin Munawi serta Pengerusi JAIS, Ahmad Zaharin Mohd Saad.

EZY


Pengarang :