Selangorkini
NASIONAL

Kerajaan Pusat ‘dahaga’ pujian, sekat kebebasan akademik

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 JUL: Tindakan Kerajaan Pusat yang meminta Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL), Prof Dr Mohamad Redzuan Othman meletakkan jawatan ekoran kajiannya yang menyebelahi pembangkang membuktikan sikap pemimpin kerajaan dahagakan pujian dan benci pada teguran serta kritikan.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff, berkata beliau juga bersetuju dengan dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa tindakan itu juga memperlihatkan kebebasan akademik negara ini disekat.

“Tindakan daripada laporan itu menggambarkan kebebasan akademik kita disekat. Ini kerana, kita tidak boleh berbeza pendapat dengan kemahuan kerajaan.

Umno-Najib-Muhyidin-1“Saya juga tahu ramai pemimpin kerajaan yang dahagakan pujian dan benci pada teguran serta kritikan, waalupun teguran itu hanya sekadar pandangan berbeza.

“Ia belum berlaku lagi pada saya, tetapi bagi kawan saya pula, ramai dalam kalangan mereka yang memilih untuk diam. Mereka tidak mahu kerjaya dan kehidupan ada masalah.

“Selalu mereka kata: Mengapa perlu dilawan kerajaan? Kerajaan hanya mahukan pujian. Oleh itu, jika tidak mahu puji dan angkat kerajaan, baiklah diam sahaja,” katanya dalam laman sosial Facebook.

Agus berpendapat, kerajaan tidak boleh selalu dipuji tanpa hujah yang kukuh kerana tindakan menegur bukan hanya terletak pada pembangkang sahaja tetapi juga tugas ahli akademik bagi melengkapi demi membangunkan negara.

“Bagi lantikan dekan pula, harapnya Naib Canselor dapat melantik ahli akademik yang dapat memberikan kepimpinan keilmuan. Sudah banyak wang yang negara belanjakan untuk menjadikan universiti kita ini antara 100 terbaik di dunia, tetapi belum tercapai.

Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff“Mengapa belum tercapai? Di manakah silapnya? Apakah ada kaitan dengan kebebasan akademik?

“Saya serahkan pertanyaan ini kepada Majlis Profesor Negara untuk menelitinya dalam kajian mereka seterusnya,” katanya.

Baru-baru ini, Mohamad Redzuan diminta Kementerian Pendidikan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengarah UMCEDEL dan jawatannya sebagai dekan tidak disambung.

Manakala, bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah meletakkan jawatan sebagai Felo Penyelidik Kanan UM sebagai tanda solidariti penyingkiran Mohamad Redzuan.

-NFN-


Pengarang :