SELANGOR

MB akur 2 orang kanan kena tindakan disiplin parti

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 3 JUL: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akur terhadap tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengenakan hukuman ke atas dua orang kanannya atas kesalahan melanggar disiplin ketika pemilihan parti.

Bagaimanapun, Abdul Khalid menasihatkan Setiausaha Politiknya, Mustapha Mohd Talib dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI), Faekah Hussein supaya mengemukakan rayuan.

“Tidak mengapa kalau itu keputusan biro disiplin, saya akur.

mb“Kita mesti menerima keputusan ini dan mereka berhak untuk membuat permohonan rayuan. Dalam parti, kita mempunyai proses rayuan terhadap keputusan yang dibuat,” katanya pada Mesyuarat Exco, di sini, semalam.

Lembaga Disiplin PKR memutuskan untuk menggantung keahlian Mustapha selama setahun secara serta merta.

Pengerusinya, Datuk Dr Tan Kee Kwong, berkata hal itu ekoran tindakan mengugut yang dilakukan Mustapha terhadap seorang calon untuk tidak meneruskan niat bertanding jawatan Ketua Cabang Kuala Selangor.

Manakala, Faekah dikenakan surat tunjuk sebab kerana mengeluarkan kenyataan di media.

pengerusi lembaga disiplin pkrSurat tunjuk sebab itu turut dikeluarkan kepada Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin dan calon penggantinya, Amiruddin Shari, bahkan mereka adalah dua pemimpin muda yang dikaitkan dengan kem Azmin.

Mereka bertiga terbabit dalam kes jawab menjawab di media berhubung isu desakan supaya Abdul Khalid berundur daripada jawatan menteri besar yang disandangnya.

-NFN-


Pengarang :