Selangorkini
SELANGOR

MB: Audit perbelanjaan MES, elak ketirisan

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 2 JULAI : Jabatan Audit Negeri Selangor diarahkan menjalankan audit di seluruh pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Penyelaras DUN dan Ahli Parlimen Selangor bagi memantau penggunaan peruntukan kewangan untuk program kebajikan Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata ia bertujuan untuk memudahkan Kerajaan Negeri memeriksa keberkesanan program kebajikan yang telah dijalankan sejak tahun 2008.

MB“Ia juga bagi memantau peruntukan yang telah dibelanjakan bagi mengurangkan risiko ketirisan dan memastikan bantuan yang diberikan diterima oleh penerima yang benar-benar layak,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), hari ini.

Sehubungan itu, Abdul Khalid menyeru supaya semua Adun, Pengawai Penyelaras DUN dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) yang menerima peruntukan untuk program kebajikan MES memberi kerjasama sepenuhnya bagi melancarkan kerja-kerja pengauditan.

“Hasil laporan audit ini akan dihantar kepada Majlis Tindakan Integriti Negeri Selangor untuk dibuat rumusan dan membaiki sebarang kelemahan bagi meningkatkan lagi keberkesanan program-program kebajikan ini,” katanya lagi.

EZY


Pengarang :