Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

MB: Pelancaran pelaksanaan Projek Jambatan Ke-3 Klang pada 6 Ogos

Kerajaan Negeri akan menganjurkan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Jambatan Ketiga Sungai Klang bertempat di tapak cadangan pembinaan projek berhampiran Jalan Sungai Bertih di Klang pada 6 Ogos 2014.

Syarikat kontraktor yang telah dipilih menerusi proses tender terbuka, Cergas Murni Sdn Bhd pada ketika ini sedang melaksanakan kerja-kerja awalan seperti kerja ukur, penyediaan insurans dan bon pelaksanaan.

jambatan ketigaSyarikat Cergas Murni Sdn Bhd telah terpilih memenangi tender projek ini selepas melepasi syarat penilaian teknikal dengan tawaran harga berjumlah RM199,156,069.36.

Proses tender terbuka telah dibuka kepada umum pada 19 Mac hingga 22 April 2014 dan sebanyak 23 syarikat kontraktor telah mengambil bahagian.

Surat Setuju Membina Projek Jambatan Ketiga Klang diserahkan secara rasmi kepada syarikat Cergas Murni Sdn Bhd pada 26 Jun lalu.

Kerja-kerja pembinaan Jambatan Ketiga Klang ini akan mengambil masa selama 104 minggu dan dijangka siap pada Julai 2016.

Rekabentuk jambatan ini bercirikan kapal layar dan keris yang dihasilkan syarikat Vast Consultants Sdn Bhd yang memenangi pertandingan rekabentuk yang dianjurkan Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor pada tahun lalu.

Jambatan Ketiga Klang sepanjang 2.5km akan bermula selepas persimpangan Sg.Udang/ Teluk Pulai dan berakhir di persimpangan Jalan Goh Hock Huat.

Selain pembinaan struktur utama jambatan, projek ini termasuk jalan-jalan baharu menghubungkan jambatan, menaiktaraf sistem perparitan sepanjang jalan dan mengalihkan kemudahan awam yang termasuk dalam laluan projek ini.

Projek Jambatan Ketiga Klang ini merupakan cadangan asal Kerajaan Negeri Barisan Nasional yang mana majlis pecah tanah diadakan pada 4 Mac 2008 iaitu empat hari sebelum Pilihan Raya Umum ke 12 tetapi gagal dilaksanakan.

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat mengambil tanggungjawab untuk menyiapkan projek ini menggunakan peruntukan dari rizab negeri bagi memenuhi keperluan orang ramai khususnya rakyat Selangor.

Kita menjangkakan pembinaan jambatan ini berupaya mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di bandar Klang yang merupakan bandar ketiga paling sesak di Negeri Selangor.

Kerajaan Negeri berharap rakyat Selangor khususnya penduduk di daerah Klang bersabar menantikan projek ini disiapkan kerana ia akan memudahkan perjalanan ke Shah Alam dan Kuala Lumpur tanpa perlu melalui bandar Klang.
YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR


Pengarang :