Selangorkini
NASIONAL

Pemantauan projek perlu dirombak, budaya cuai punca kes runtuhan berulang

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 JUL: Kerajaan Pusat harus membuat rombakan dalam mekanisme pemantauan projek yang dijalankan syarikat lantikan, kata Setiausaha DAP Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Sekinchan, Ng Suee Lim.

Katanya, budaya cuai dan terlepas pandang aspek penting pemantauan adalah punca utama sering berlaku runtuhan dalam projek membabitkan Kerajaan Pusat.

“Ini adalah satu lagi amaran akibat pemantauan yang tidak cekap, mungkin sebab rasuah maka kesilapan berlaku menyebabkan runtuhan demi runtuhan dilaporkan.

jalan imbi runtuh“Kita dapat lihat tiang LRT jatuh, jambatan Pulau Pinang juga insiden sama, terbaru di Jalan Bukit Bintang dan semuan ini adalah amaran kepada kelalaian kerajaan.

“Kejadian ini bukan sahaja merugikan duit rakyat tetapi turut membahayakan nyawa, maka kerajaan perlu lakukan sesuatu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian terowong bawah tanah yang runtuh di Jalan Imbi, pagi semalam, bahkan apa yang berlaku itu terus menerima usikan warga laman sosial, Facebook.

Tinjauan Selangor Kini mendapati, kebanyakan pemilik akaun Facebook galak berkongsi gambar ‘troll’ kejadian runtuhan dengan ‘menyelitkan aksi beberapa watak popular Hollywood dan antarabangsa.

Antaranya, page ‘signatureweddings’ yang mempunyai lebih 50,000 penggemar (likes) berkongsi empat keping gambar ‘troll’ dalam satu status yang dimuat naik 20 jam lalu.

ngsueelimGambar yang dimuat naik memuatkan kemunculan aksi ‘Godzilla’ serta watak kegemaran melalui filem pecah panggung, Transformers iaitu Optimus Prime dan musuhnya, Megatron.

Sejak semalam, troll berkenaan berjaya mengumpul lebih 8,000 perkongsian dan 8,000 ‘likes’.

Mereka yang memberi komen juga tidak meninggalkan komen dalam bentuk ayat sebaliknya turut berkongsi gambar troll lain.

Antaranya, mereka berkongsi gambar troll membabitkan aksi bintang lain termasuk Incredible Hulk, King Kong, Ultraman, Thor serta tidak ketinggalan aksi ‘raja bomoh’, Ibrahim Mat Zin.

Perkhidmatan KL Monorail dari Stesen Hang Tuah ke Stesen Imbi turut dihentikan sementara berikutan keretakan tanah berdekatan tiang monorel di persimpangan empat lampu isyarat di kawasan berkenaan.

BERNAMA melaporkan, terowong bawah tanah yang masih dalam pembinaan runtuh, manakala laluan di Jalan Imbi jerlus pada kira-kira jam 10.40 pagi, semalam.

-NFN-


Pengarang :