Ngomelan terhadap ngomelan Melayu, kenapa kau nak jadi Arab? | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang


Ngomelan terhadap ngomelan Melayu, kenapa kau nak jadi Arab?

Oleh: Muhammad Za’im Mohamad Yusoff

Air setitik nak jadi laut, beras sekepal nak jadi gunung. Peribahasa nenek moyang ini tengiang-ngiang di cecuping usai membaca sudut pandang di laman sesawang Astro Awani, “Melayu, kenapa kau nak jadi Arab?”.

Penulis mempersoalkan mengapa kita, khususnya penutur Bahasa Melayu yang rata-rata bangsa Melayu, tidak menggunakan (atau lebih tepat, mempopularkan) perkataan “Sungkai” bagi memaksudkan sesi berbuka puasa berbanding “Iftar” yang merupakan perkataan (lebih tepat kata serapan) daripada Bahasa Arab.


iftar-mealBeliau tertanya-tanya sampai habis sepurnama bulan puasa, menantikan jawapan bagai pungguk rindukan bulan sehingga dirasakan jawapannya mustahil muncul lagak kucing bertanduk. Walhal, jawapannya sudahkan terang lagi bersuluh.

Iftar juga merupakan kosa kata yang diiktiraf sejak sekian lama di dalam Kamus Dewan Bahasa Pustaka. Adapun sungkai, kosa kata itu meski turut sama wujud dalam kamus itu, ternyata agak langka penggunaannya.

Oleh itu, terima kasih buat saudara penulis, mudah-mudahan dengan ngomelan Tuan, ada juga penganjur majlis berbuka puasa enam nanti akan mengundang anda dan saya ke Majlis Sungkai bersama anak-anak yatim.

Anda juga boleh bertemu dengan kosa kata sedekah, infak, solat dan hijab di dalam kamus autoritatif yang sama tanpa perlu bersusah payah berfikir dan bertanya seperti kodok ditimpa kemarau.

Kalau pun hendak protes, sepatutnya protes ini sudah lama berlaku sebelum hampir dua ke tiga ribu kosa kata serapan berasal daripada Arab itu dimuktamadkan ke dalam kitab perkamusan Melayu.

Malah perkataan solat yang diungkit, hanyalah warisan nenek moyang zaman-berzaman untuk membezakan perbuatan sembahyang, yakni dewa-dewa dan roh-roh yang dipuja kaum aminisme nusantara sebaliknya kosa kata solat terus bermakna menyembah Allah Zuljalal yang maha tunggal.

Begitu juga hijab yang lebih luas makna daripada tudung, digunakan orang untuk memastikan tudung bukan dipakai sekadar syarat, tetapi tudung itu benar-benar menghijabkan aurat.

Isu basi

Sebenarnya isu ngomelan sesetengah daripada warga kita tentang keperihalan kosa kata Arab yang kemudian diheretkan sekali budaya pemakaian seperti jubah dan serban sudah berlarutan sejak zaman putung berasap dan sifatnya tidak habis-habis seperti seruas tebu yang berulat, sebatangnya dibuang.

Seingat ingatan berbaki, Tan Sri Dr Rais Yatim turut mengungkitkan hal ini sedekad yang lampau dengan seruan hentikan mengarabkan kebudayaan Melayu.

cintailah-bahasa-kebangsaanSedangkan serasa angkatan ini keliru, antara Arab dan Islam yang mana kebanyakan daripada pengamalan yang dikatakan diambil dari budaya Arab adalah berasal daripada ambilan pandangan ulama’ yang menyabitkan jubah dan serban sebagai pakaian Rasulullah sekaligus merupakan sunnah serta berpahala diikuti dengan syarat ia menambahkan kasih dan kepatuhan terhadap ajaran baginda.

Malah, kemunculan bondongan dan pusuan insan berjubah dan berhijab tidak pula mengurangkan jualan baju raya hijau zamrud Aaron Aziz dan biru lapis lazuli Zizan Razak yang terlajak laris amatlah banyak.

Atau sebenarnya mereka ini protes dengan kecelikan budaya beragama yang semakin mendapat tempat dalam kalangan umat Islam Melayu Malaysia marcapada sehinggakan para selebriti juga turut sama mempromosikan bernuansakan Islam? Telunjuk lurus kelingking berkait nampaknya.

Sebenarnya, isu menggunakan kosa kata Arab ke dalam Bahasa Melayu tidaklah sebaru Revolusi Iran dekat 80-an berkenaan, malah ia sudah bermula sejak abad ke-13 lagi sejak penemuan batu bersurat Terengganu, saat Islam berkampung di Tanah Melayu.

Rujuklah buah fikiran sarjana Melayu, Prof YM Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu yang menghuraikan hal ini berbabad-babad lagaknya.

Malah, kalau dikatakan hanya kerana menggunakan kosa kata Arab dalam Bahasa Melayu, kita nak jadi Arab; rasanya Melayu bukan sekadar nak jadi Arab, kita juga mahu sebangsa dengan penutur Sanskrit, Jepun, Portugis, Farsi malah Cina, Tamil dan Hindi kerana jumlah kata serapan daripada mereka boleh tahan tinggi jumlahnya.

Walhasil, jangan jadi seperti kerbau pembulang tali, saudara.

Terkadang terasa lucu saat kita cemburu akan bahasa lain diserapkan dalam bahasa kita semisal orang yang sudah lama berkahwin tiba-tiba mempersoal kenapa perlu menyara si anak.

Sedangkan kemunculan konsep kata serapan sebeginilah menjadikan bahasa kita lebih utuh dan teguh, berdiri sama tinggi, menyelam sama dalam dengan lautan makna bahasa-bahasa perbadaban insan yang tinggi mercunya.

Kalau hendak bercakap tentang penghakisan budaya Melayu, seyugianya kita juga harus lemparkan persoalan di mana perabung dan anjung rumah Melayu di taman-taman para pemaju, di mana tulisan jawi di dada-dada media masani hinggakan beras dimakan hari-hari itupun diimport dari seberang? Hakikatnya, tidak ada padi yang bernas setangkai.

Dengan sinikal sebegini guntur, mungkin saja saudara penulis ini sekadar “troll”. Apapun kalau telahan saya ini tidak betul, rasanya kita perlu memperbanyakkan baca seiring dan seimbang dengan memperbanyakkan tanya.

Jujur, bahasa selamanya alat. Akhirnya, penggunalah yang menentukan takat mudarat dan manfaatnya.

Bahasa jiwa bangsa. Selamat Hari Raya!

Mohon ampun luaran dan dalaman.

Dipetik: The Malaysian Insider

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION