Selangorkini
SELANGOR

Pelan Induk Pengangkutan kaji sistem lalu lintas Petaling Jaya

Oleh: NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 9 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam usaha merangka Pelan Induk Pengangkutan yang akan mengkaji sistem pengangkutan dan lalu lintas secara holistik di kawasan terbabit.

Datuk Bandar MBPJ, Datin Paduka Alinah Ahmad, berkata pelan itu akan mengambil kira hubungan antara perancangan guna tanah, sistem rangkaian jalan raya, sistem berasaskan rel dan pengurusan lalu lintas serta pengangkutan awam.

Katanya, selain itu, pelan terbabit juga termasuk sistem letak kenderaan, isu pergerakan kenderaan perdagangan dan isu perlepasan karbon dioksida daripada sistem pengangkutan.

_MG_7198Beliau berkata, MBPJ melantik Perunding Trafik Tetuan Unit Perundingan Universiti Malaya untuk menjalankan kajian bagi merealisasikan matlamat itu.

“Kajian pengangkutan itu khusus bagi mengkaji dan mengenal pasti masalah pengangkutan sedia ada bagi seluruh kawasan MBPJ ke arah menjadikan Petaling Jaya sebagai bandaraya mampan menjelang 2030,” katanya.

Alinah berkata, pelan itu juga akan disediakan bagi merumus cadangan penambahbaikan pelan tindakan jangka pendek, pertengahan dan panjang sehingga 2025.

“Kerja pengumpulan data trafik sudah bermula, pada 1 Mei lalu dan siap pada 24 Jun lalu. Namun, kerja pengumpulan data lain seperti pengangkutan awam, tempat letak kereta dan lain-lain masih lagi berjalan.

jalan sultan mbpj“Kajian secara keseluruhannya dijangka akan dapat disiapkan pada penghujung Januari 2015,” katanya.

Beliau memaklumkan, MBPJ juga menubuhkan satu jawatankuasa teknikal yang terdiri daripada enam ahli majlis dan badan profesional bagi memantau perlaksanaan syor kajian.

“Jawatankuasa itu juga membabitkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Jabatan Kerja Raya, Lembaga Lebuh Raya Malaysia, MIROS dan MOT.

“Begitu juga dengan pihak berkuasa yang terbabit antaranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Majlis Bandaraya Shah Alam serta polis trafik daerah Petaling dan Syarikat Prasarana Negara Berhad,” katanya.

-NFN-


Pengarang :