Selangorkini
SELANGOR

Unisel bangun kit halal kesan bahan tidak halal dalam tempoh 1 minit

SHAH ALAM 1 JULAI: Universiti Selangor (Unisel) akan menjalankan kajian pembangunan kit halal bagi mengesan bahan tidak halal yang boleh dikesan dalam tempoh seminit.

Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, Unisel diberi peruntukan RM1.3 juta daripada Kerajaan Selangor membangunkan alat itu yang dijangka siap pada Disember 2015.

Unisel-Grafik“Alat ini bukan untuk makanan saja tetapi juga kosmetik dan ubat-ubatan,” katanya Prof Dr Anuar dipetik Sinar Harian.

Kata Prof Dr Anuar, kit halal itu tidak perlu diragui kerana pihaknya melaksanakan mandat Kerajaan Selangor untuk membangunkan teknologi itu dengan amanah dan tanggung jawab.

“Walaupun kecil ia dapat menjimatkan kos berbanding ujian makmal. Oleh itu, jangan ragu-ragu menggunakan alat ini, kerana hasil ujiannya diyakini tepat, setanding dengan hasil ujian makmal yang menelan belanja ribuan ringgit,” katanya.

Beliau berkata, Kit halal bukan perkara baharu. Sebelum ini, di negara ini sudah ada beberapa pihak terutama universiti yang cuba memajukan kit halal.

Namun setakat ini, teknologi yang akan dibangunkan Unisel dikenal pasti sebagai yang termaju.

“Kit halal yang ada sebelum ini berfungsi untuk mengesan kandungan DNA babi saja.

unisel 05“Ini berbeza dengan apa yang kita akan keluarkan yang mana kit halal Unisel menggunakan teknologi pengesan nano bagi mengetahui kandungan zat babi sekecil 0.001 peratus,” kata Anuar.

Katanya, kelebihan kit halal Unisel yang mampu mengesan zat serendah 0.001 peratus iaitu zat paling rendah yang kebiasaannya terkandung dalam makanan, kosmetik atau ubatan dalam pasaran

“Mudah, sangat mudah! Hanya masukkan sampel ke dalam pengesan, kemudian goncang hingga larut dalam masa 10 saat. Seterusnya uji bahan yang sudah larut itu dengan alat pengesan elektronik pada kit.

“Secara automatik, kit akan mengeluarkan cahaya floresen yang akan menentukan kandungan zat babi dalam tempoh seminit,” katanya.

Katanya, penghasilan kit itu lebih kepada niat fardu kifayah kepada pengguna Muslim, bukan untuk mengaut keuntungan dan secara tidak langsung, ia juga boleh menjadi nilai tambah kepada kredibiliti Unisel.

“Teori tentang kit ini, memang tidak ada masalah kerana telah selesai, hanya menunggu bajet diumumkan kerajaan negeri untuk membeli komponen elektronik dan pengesan yang dijangka diperoleh Julai ini,” katanya.

EZY


Pengarang :