SELANGOR

10,000 rai sambutan kemerdekaan ke-57 peringkat Selangor

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 31 OGOS : Sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 peringkat Selangor di Dataran Shah Alam dirai penuh patriotik namun sederhana bagi menghormati tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 dan kehilangan MH370.

Bertemakan “Selangorku Sejahtera, Rakyat Terbela” penghayatan sambutan Hari Kemerdekaan dapat dirasai di Selangor meskipun negara masih berada dalam suasana sedih ekoran tragedi malang itu.

MerdekaBerbanding tahun-tahun sebelumnya, Kerajaan Negeri memutuskan untuk tidak mengadakan pertunjukan bunga api mahupun konsert meriah pada malam sambutan Ambang Merdeka kali ini sebagai tanda penghormatan kepada waris mangsa MH17.

Sebaliknya acara tahun ini dimulakan dengan majlis tahlil kemerdekaan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Jumaat malam, manakala sambutan ambang merdeka hanya diisi dengan nyanyian lagu patriotik dari artis tempatan.

Selain sambutan kemerdekaan, Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri dan Hari Belia 2014 turut diraikan dalam majlis sama.

Hujan renyai yang turun tidak langsung menghalang lebih 10,000 orang untuk hadir bersama-sama memeriahkan sambutan berkenaan.

Hadirin turut dijamu dengan aneka juadah Aidilfitri selain berpeluang bertemu, bersalaman dan beramah mesra dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

IMG_2086Hadir sama memeriahkan majlis, isteri keada Menteri Besar, Puan Sri Salbiah Tunut, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan ahli Exco Selangor.

Selain nyanyian lagu patriotik, orang ramai juga berpeluang menyaksikan perarakan perbarisan dari lebih 50 kontinjen antaranya Rejimen Askar Melayu Diraja, Jabatan Imigresen Selangor, Jabatan Perhutanan Selangor, Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sebagainya.

Selain itu, sambutan kali ini menyuntik sedikit kelainan apabila perarakan Sahabat Grand Livina, kereta mini, basikal “tua” dan motorsikal berkuasa tinggi turut mengambil bahagian dalam perarakan merdeka.

Sebaik sahaja tepat jam 12 malam, orang ramai melaungkan seruan “merdeka” dan menyanyikan lagu Negaraku, Negeri Selangor dan Tanggal 31 yang pernah dipopularkan allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

EZY


Pengarang :