3 lagi mangsa tragedi MH17 tiba di KLIA | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang


3 lagi mangsa tragedi MH17 tiba di KLIA

SEPANG 24 OGOS: Tiga mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 tiba di Malaysia hari ini dengan dua daripadanya diberi penghormatan dalam istiadat ringkas namun penuh penghormatan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Malaysia juga bertafakur selama seminit mulai 8.41 pagi sebagai tanda penghormatan terhadap mangsa tragedi itu.

jenazah mh17 1 aBernama melaporkan suasana Mmuram dan sayu menyelubungi istiadat penghormatan tentera seperti yang diterima 20 korban mangsa nahas MH17 pada Jumaat, sebaik sahaja pesawat yang membawa jenazah penyelia penerbangan kabin MAS, Mohd Ghafar Abu Bakar dan pensyarah Universiti Malaysia Sabah, Ng Shi Ing menghampiri Kompleks Bunga Raya KLIA.


Pesawat komersial MH19 membawa kumpulan kedua jenazah mangsa nahas itu berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam pada tengah hari (6 petang waktu Malaysia) pada Sabtu dan mendarat di terminal utama KLIA pada 6.45 pagi.

Ia kemudian mula bergerak ke kawasan kompleks pada 8.25 pagi sebelum berhenti sepenuhnya untuk istiadat itu pada 8.30 pagi.

Hadirin termasuk kenamaan, pegawai kerajaan dan waris cuba melawan sebak serta tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih terutama ketika keranda jenazah dan kendi berisi abu mayat mula diturunkan dari pesawat itu dan diusung serta dibawa ke dalam dua kenderaan jenazah.

Jenazah pertama yang dibawa turun ialah Mohd Ghafar diikuti abu Ng.

Identiti jenazah ketiga yang tidak mengikuti istiadat penghormatan, tidak didedahkan atas permintaan keluarga.

Mohd Ghafar dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Kosas, Ampang manakala Ng akan dihantar ke Xiao En Bereavement Care Sdn Bhd di Cheras, Kuala Lumpur.

Sebaik sahaja kedua-dua pintu kenderaan jenazah ditutup, pengerusi majlis membuat pengumuman kepada hadirin untuk bertafakur.

Suasana semakin sebak apabila kenderaan jenazah mulai bergerak untuk meninggalkan kawasan Kompleks Bunga Raya KLIA.

Selain waris dan keluarga, turut dilihat hadir ialah sekumpulan anak kapal MAS, anggota keluarga serta waris penumpang pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac lepas.

Sebanyak 190 anggota daripada 12 Briged Infantri Malaysia terlibat dalam istiadat penghormatan hari ini.

Semalam, Liow berkata kumpulan ketiga jenazah dijangka tiba pada 30 Ogos.

Setakat ini, pihak Belanda mengenalpasti 30 warga Malaysia.

Pada Jumaat, jenazah 20 rakyat Malaysia yang dibawa pulang ke tanah air dalam 17 keranda dan 3 kendi berisi abu mayat diberi penghormatan mengikut adat istiadat tentera – julung kali diberikan kepada orang awam dalam sejarah negara ini – dan diurus dengan amat teliti dalam istiadat penuh hormat.

Pesawat Boeing 777-200, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Ia dipercayai ditembak jatuh namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION