4 wakil rakyat PAS sedia letak jawatan jika bergabung dengan Umno | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang


4 wakil rakyat PAS sedia letak jawatan jika bergabung dengan Umno

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 OGOS: Analisis senario PAS menjalin kerjasama politik dengan Umno oleh Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan (PPP) PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang bocor baru-baru ini tidak mendapat sambutan daripada ahli kumpulan whatsapp AJK PAS Pusat.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, berkata terdapat sekurang-kurangnya empat ahli kumpulan itu yang menyatakan pemimpin PAS perlu meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing berikutan kemenangan yang diperoleh dalam pilihan raya adalah melalui sokongan parti lain dalam Pakatan Rakyat (PR).


“Ini kerana kita menang atas sokongan rakyat terhadap PR, bukan PAS semata-mata. Maka, kekal dalam jawatan itu tanpa kita berada dalam PR adalah dianggap tindakan tidak bermoral dan berbaur pengkhianatan,” katanya dalam sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam, di sini, hari ini.

umno-dan-pas-565x376Beliau berkata, fakta itu perlu diketahui rakyat bagi membuktikan PAS tidak pernah berhasrat mengkhianati amanah yang diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Katanya, kumpulan whatsapp itu dikendalikan seorang kakitangan ibu pejabat PAS bagi memudahkan menyalurkan pelbagai maklumat seperti tarikh, masa dan agenda mesyuarat kepada Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

“Kumpulan whatsapp ini bukan rasmi. Malah, Presiden, Setiausaha Agung dan beberapa pemimpin tertinggi PAS juga tidak menyertai whatsapp ini. Sebarang keputusan diputuskan dalam mesyuarat yang dihadiri pemimpin tertinggi parti bukan di whatsapp ini,” katanya.

Khalid berkata, analisis senario yang dibocorkan itu juga adalah serangan ke atas PAS dan bukannya kepada Dr Zuhdi sendiri.

_MG_0168Beliau berkata, jika serangan itu ditujukan kepada Dr Zuhdi, maka analisis senario itu hanya berlegar di kalangan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sahaja dan tidak disebarkan kepada umum.

“Kalau Zuhdi sasarannya, sudah pasti ‘printscreen’ berkenaan akan hanya berlegar di kalangan pemimpin PAS sahaja kerana jawatannya sebagai Pengarah Operasi PPP bukan dipilih rakyat tetapi dilantik pemimpin.

“Oleh itu, jika ada yang ingin menjatuhkan Dr Zuhdi daripada jawatan itu, tidak perlu disebarkan ‘printscreen’ berkenaan ke luar, memadai disebarkan di dalam parti sahaja.

“Seharusnya, lebih banyak usaha dilakukan untuk membela nama baik PAS berbanding membela Dr Zuhdi bagi mengelakkan persepsi negatif rakyat terhadap parti ini,” katanya.

-NFN-

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION