9 lagi jenazah tragedi MH17 tiba di KLIA 2 September | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang


9 lagi jenazah tragedi MH17 tiba di KLIA 2 September

SHAH ALAM, 29 OGOS: Sembilan lagi jenazah termasuk dua warga asing mangsa tragedi pesawat penerbangan MH17 dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 2 September ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, berkata jenazah itu juga akan mengikuti istiadat penghormatan.

“Setakat ini, sembilan jenazah berkemungkinan besar akan tiba pada 2 September dan ia tertakluk kepada beberapa faktor. Ada faktor tertentu yang akan menyebabkan angka ini berubah.


MH17“Kami percaya pada 1 September, kita dapat pastikan berapa,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa koordinasi istiadat penghormatan itu di Bangunan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di Putrajaya, semalam.

Beliau berkata, persediaan sedang dilakukan bagi menerima sembilan mangsa tragedi itu termasuk lima jenazah dalam keranda dan empat abu dalam kendi dari Amsterdam, Belanda sebelum dikebumi dan disemadikan.

Katanya, satu daripada sembilan jenazah itu adalah kanak-kanak.

Zulkifeli berkata, dua warga asing itu adalah suami kepada mangsa MH17 warga Malaysia selepas mendapat kelulusan dari negara asal untuk mereka dikebumikan di Malaysia bersama isteri masing-masing.

Katanya, pada istiadat penghormatan berkenaan, dua warga asing itu, termasuk satu dalam kendi akan dilitupi dengan bendera negara asal mereka.

MH17 aZulkifeli berkata, tiga pesawat iaitu dua EC725 dan sebuah Charlie 130 bakal digembleng untuk membawa 4 jenazah ke Teluk Intan, Perak; Bukit Mertajam dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, manakala 4 lagi akan dibawa menggunakan kenderaan jenazah ke sekitar Lembah Klang dan satu lagi ke Seremban.

Beliau berkata, mesyuarat berkenaan penghormatan jenazah yang dipengerusikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan disertai menteri berkenaan akan berlangsung di Kompleks Bunga Raya, KLIA, pada 1 September ini.

Sehingga kini, 24 jenazah mangsa tragedi warga Malaysia dibawa pulang. Dua daripadanya tidak didedahkan identiti atas permintaan keluarga.

Kumpulan pertama 20 jenazah dibawa pulang dari Amsterdam dengan sebuah pesawat khas pada 22 Ogos lalu, diikuti satu keesokannya dan tiga lagi pada 24 Ogos lalu.

Pesawat Boeing 777-200 Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) itu yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal dipercayai ditembak jatuh ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, di wilayah Donetsk, timur Ukraine, pada 17 Julai lalu.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION