SELANGOR

Abdul Khalid sedia disiasat, cadang PKR lapor segera kepada SPRM

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 4 OGOS : Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan kesediaannya untuk memberi sepenuh komitmen dan kerjasama jika siasatan dilakukan terhadapnya berhubung salah laku membabitkan urus niaga jualan tanah di Selangor.

Sambil menafikan dakwaan berkenaan, beliau yang juga Menteri Besar Selangor turut mengingatkan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution dan kepimpinan parti yang lain supaya berhati-hati dalam membuat sebarang tuduhan atau kenyataan.

Katanya, tuduhan salah laku itu perlu dipandang serius dan beliau berhak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kenyataan fitnah berkenaan.

mb khalid ibrahim kongres ke 9 PKR 03“Jika Saifuddin yakin beliau berada di pihak yang benar, maka beliau dan rakan dalam PKR sepatutnya membuat laporan segera kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia, selain mendedahkan jika ada bukti bagi mengukuhkan dakwaan salah laku itu.

“Kegagalan beliau dan rakan dalam PKR untuk berbuat demikian hanya akan mengundang spekulasi bahawa tuduhan ini bermotifkan politik dan berniat jahat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Khalid turut berazam meneruskan keupayaan dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat Selangor secara telus, bertanggungjawab dan baik.

PKR hari ini mendakwa Abdul Khalid terbabit dalam aktiviti meragukan membabitkan urus niaga jualan tanah di negeri itu.

saifudin-_3Saifuddin berkata, urusan jualan itu berlaku sejurus selepas tempoh sebulan Abdul Khalid mencapai penyelesaian luar mahkamah kes hutang dengan Bank Islam.

“Dalam tempoh sebulan selepas penyelesaian itu, kita dapati terdapat beberapa perkembangan yang menguatkan lagi keraguan membabitkan urus niaga berjumlah ratusan juta ringgit yang beri keuntungan kepada Eco World Berhad iaitu syarikat yang dikawal Tan Sri Rashid Manaf sebagai pengerusi dan pemegang saham utama,” katanya di Ibu Pejabat PKR, di Petaling Jaya, hari ini.

Beliau mendakwa Eco World memperoleh 308.7 ekar tanah yang dijual oleh Tropicana Corp Berhad yang membelinya sebelum itu daripada Kerajaan Selangor, pada April 2013.

Katanya, urusniaga penjualan kepada Eco World berlaku, pada 19 Mac lalu selepas penyelesaian hutang Bank Islam dengan Abdul Khalid pada Februari lalu.

-NFN-


Pengarang :