SELANGOR

Abdul Khalid tak terbabit pemilihan tender projek Canal City

Oleh: AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak terbabit dalam sebarang urusan pemilihan tender projek pembangunan Canal City yang menjadi kontroversi sejak sekian sekian lama apabila gagal diselesaikan Barisan Nasional (BN), pada 2003.

Eksekutif Komunikasi Menteri Besar Selangor, Shazni Munir Mohd Ithnin, berkata ia diputuskan lembaga pengarah Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) yang membuat keputusan untuk mengeluarkan kertas kerja bagi membangunkan 1,123 ekar tanah di Canal City.

Katanya, sebuah jawatankuasa penilai turut ditubuhkan untuk meneliti dokumen yang disediakan enam syarikat pembida masing-masing bernilai antara RM173 juta hingga RM1.297 bilion.

canalcity“Dalam jawatankuasa penilai yang akhirnya menentukan bidaan itu dimenangi Tropicana Corp Berhad, tiada satu pun yang tersenarai namanya Abdul Khalid Ibrahim.

“Abdul Khalid menghadiri mesyuarat bersama PNSB sewaktu Tropicana Corp diumumkan sebagai pemenang tender, tetapi beliau tiada sebarang kuasa untuk menukar atau menolak keputusan berkenaan.

“Beliau tidak pilih (pembida) dan tidak ganggu keputusan PNSB, sebaliknya Tropicana dipilih kerana mampu memberi pulangan besar,” katanya pada Forum Krisis Selangor : Khalid Ibrahim belot Pakatan? di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Shazni berkata, Tropicana Corp turut menanandatangani perjanjian usaha sama (JV) selama 20 tahun bersama PNSB dengan beberapa syarat ditetapkan selepas memperoleh tender.

Katanya, perjanjian itu kemudiannya diingkari Tropicana Corp apabila syarikat terbabit menjual suku daripada tanah itu kepada Eco World pada harga RM4.07 juta.

shaznihqdefault“Tropicana Corp merasakan mereka tidak memiliki tanah itu lalu menjual suku daripadanya kepada Eco World pada harga RM4.07 juta, sekali gus melanggar JV yang sudah dimeterai.

“Ekoran itu Kerajaan Negeri memberi kata dua kepada Tropicana supaya membayar nilai tanah itu secara keseluruhannya berjumlah RM0.84 bilion secara langsai kepada PNSB.

“Kalau Tropicana Corp adalah kroni kepada Abdul Khalid, pasti beliau akan beri muka kepada syarikat ini tetapi perkara itu tidak berlaku,” katanya.

-NFN-


Pengarang :