SELANGOR

Air cukup tidak perlu catuan, pelan jangka panjang dirancang

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 OGOS: Dalam memastikan bekalan air Selangor sentiasa mencukupi untuk keperluan rakyatnya, Kerajaan Negeri menolak sebarang keputusan berasaskan kepentingan politik dalam isu air.

Sebaliknya Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata catuan air hanya dilaksanakan bagi kepentingan rakyat Selangor bagi jangka panjang.

EmpanganJelas beliau ini terbukti seperti mana ketika Kerajaan Negeri melaksanakan catuan air beberapa bulan lalu meskipun menyedari langkah itu boleh memberi persepsi negatif dalam politik.

“Kita bukan sahaja memikirkan bekalan air mencukupi untuk sehari atau seminggu, dua sahaja tetapi dalam menghadapi situasi musim kemarau berpanjangan ini kita memikirkan bekalan air hingga tahun hadapan.

“Pada masa sekarang memang bekalan air cukup tak perlu catuan tetapi kita juga dijangkakan menghadapi El-Nino tahun hadapan,” kata Dr Ahmad Yunus ketika dihubungi Selangor Kini di sini.

Selain itu Kerajaan Negeri turut merangka rancangan jangka panjang bagi keperluan air yang semakin meningkat saban tahun.

Jelas beliau sekiranya pertimbangan kepentingan politik diambil kira sudah tentu tiada langkah catuan diambil walaupun menyedari akan menyebabkan bekalan air menjadi kontang.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan catuan air di semua zon di Selangor secara berjadual.

Langkah itu menyebabkan Kerajaan Negeri diserang oleh beberapa pihak demi meraih kepentingan politik tanpa menghiraukan keperluan pengurusan air dengan cekap bagi bekalan berterusan.

EZY


Pengarang :