NASIONAL

Bendera Malaysia dikibar separuh tiang Hari Perkabungan Negara 22 Ogos

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Bendera Malaysia hendaklah dikibarkan separuh tiang di seluruh negara dan semua acara berunsur hiburan hendaklah ditangguhkan semasa Hari Perkabungan Negara pada Jumaat ini.

Menurut kenyataan media Jabatan Perdana Menteri (JPM), semua pihak diminta memakai pakaian berwarna suram dan tidak berwarna terang/garang pada hari perkabungan sempena ketibaan jenazah mangsa tragedi pesawat MH17 ke tanah air.

Pada hari berkenaan juga, semua rancangan hiburan di semua saluran radio dan televisyen hendaklah ditangguhkan dan diganti dengan bacaan al-Quran dan program berunsur keagamaan.

malaysia-flag-l“Bagi mereka yang beragama Islam dan terlibat secara langsung (dalam majlis sambutan ketibaan jenazah), mereka (termasuk petugas media) digalakkan memakai songkok (tanpa lilitan warna putih), manakala pegawai dan petugas wanita perlu memakai selendang berwarna hitam,” kenyataan itu menyebut.

Peraturan hari perkabungan yang ditetapkan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa JPM perlu dipatuhi di semua peringkat kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, syarikat swasta, stesen radio dan televisyen serta orang ramai.

Hari Perkabungan Negara diisytiharkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersempena ketibaan jenazah mangsa tragedi MH17 yang bertujuan menzahirkan rasa dukacita seluruh rakyat Malaysia di atas tragedi itu.

Majlis sambutan ketibaan jenazah akan diadakan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Pesawat MH17 milik Malaysia Airlines yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, dipercayai ditembak jatuh di Ukraine.


Pengarang :