Selangorkini
NASIONAL

EKSKLUSIF: 100 penduduk Islam Xinjiang mangsa serangan ganas 1 Syawal

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 5 OGOS : Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sekeras-kerasnya pertempuran ganas yang tercetus pada 1 Syawal lalu di bahagian barat Xinjiang, China hingga mengorbankan hampir 100 penduduk minoriti Islam di negara itu.

Naib Presidennya, Mohammad Raimi Ab Rahim, berkata tindakan itu adalah satu bentuk kekejaman yang seharusnya dikecam masyarakat dunia terutama berlaku di saat umat Islam sedang menyambut Aidilfitri.

Katanya, tiada tindakan jelas dan proaktif daripada kerajaan China berhubung serangan ganas itu, sebaliknya kepimpinan republik berkenaan dilihat lebih selesa berdiam diri dan membiarkan kekacauan terus berlaku di wilayah Xinjiang.

uyghurKita mengkritik keras serangan terbaru itu dan mendapati kegagalan berlaku di pihak keselamatan serta negara China kerana membenarkan pembunuhan juga kekacauan timbul tanpa sebarang tindakan proaktif untuk melindungi rakyat Islam Uyghur di sana.

“Ini adalah satu bentuk kekejaman yang harus dikecam dunia,” katanya kepada Selangor Kini.

Raimi berkata, insiden penindasan yang berlaku di Turkistan atau Xinjiang mendapat perhatian daripada masyarakat dunia, namun sedikit teralih berikutan tumpuan diberikan kepada isu Palestin.

Katanya, satu tunjuk perasaan turut dianjurkan beberapa hari lepas di Turki bagi membantah serangan dan pembunuhan yang dilakukan kerajaan China terhadap masyarakat Uyghur di wilayah berkenaan.

“Kita kecam tindakan yang dibuat kerajaan China terhadap masyarakat Uyghur dan ini dilakukan tatkala mereka ingin menyambut Syawal.

raimi-abim“Masyarakat Islam di sana tertindas dan dibunuh, bahkan kita juga sedang memantau secara dekat ketegangan yang berlaku di sana,” katanya.

Media tempatan China sebelum ini memaklumkan berpuluh penduduk dan penyerang maut serta cedera dalam serangan ganas di daerah Shache berdekatan gurun Taklamakan dalam wilayah berkenaan.

Media turut melaporkan, sekumpulan lelaki bersenjata pisau dan kapak menggempur sebuah balai polis dan pejabat kerajaan di bandar Elixku, manakala beberapa yang lain memasuki pekan Huangdi serta menyerang orang awam juga memusnahkan kenderaan.

Menurut agensi berita Xinhua, polis menembak mati anggota kumpulan bersenjata di lokasi kejadian, namun jumlah sebenar mangsa terkorban tidak diketahui memandangkan maklumat di Xinjiang sukar untuk disahkan.

Dilaporkan lebih 20 orang penduduk Uyghur terkorban dan 10 yang lain cedera, manakala 13 anggota keselamatan terkorban atau cedera, sementara 67 orang lagi ditahan.

Pekerja hotel dan restoran di Shache bagaimanapun tidak mengetahui berkenaan kejadian itu, manakala menurut Xinhua, siasatan awal mendapati insiden berkenaan dilancarkan secara terancang.

Kumpulan hak asasi mendakwa kerajaan China menindas penduduk Islam Uyghur, termasuk melarang mereka berpuasa di bulan Ramadan, namun kerajaan menyangkal dakwaan terbabit dan menegaskan pihaknya sudah meningkatkan pembangunan sektor ekonomi di penempatan penduduk minoriti itu.

-NFN-


Pengarang :